Semporna Bakal Menjadi Bandar Terapung Canggih – Jaujan

12901

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pekan Semporna bakal menyaksikan perubahan dalam tempoh 15 tahun ini apabila Projek Pembinaan Bandar Terapung yang lengkap dengan Taman Tema Air dibangunkan di daerah berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, projek pelancongan bertaraf dunia pertama seumpamanya di Sabah itu akan dibangunkan di atas air tanpa melibatkan sebarang penimbusan tanah.

Katanya, konsep pembangunan bandar atas air itu akan melibatkan kawasan seluas 342 ekar yang lengkap dengan Taman Tema Air (water theme park).

”Pembinaannya akan dibuat di atas tanah milik kerajaan di tepi laut di Pekan Semporna. Pembangunan ini akan melibatkan kerjasama kerajaan dan pihak swasta.

”Pelan utama pembangunan ini diilhamkan oleh Kumpulan Hatten Sdn Bhd yang berpusat di Melaka,” katanya dalam Sidang Media mengenai Pelan Pembangunan Daerah Semporna, di sini pada Isnin.

Beliau, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata, pelan pembangunan berkenaan sudah dibentangkan kepada Ketua Menteri Sabah dan pelaksanaannya diharap dapat dipercepatkan.

Oleh itu, Jaujan akan mengarahkan Pejabat Daerah Semporna serta jawatankuasa daerah yang terlibat supaya melihat secara terperinci pelan pembangunan itu agar ianya dapat diluluskan secepat mungkin.

Katanya, diperingkat kementerian, beliau akan memastikan kelulusan terhadap pelan pembangunan itu dapat diberikan dalam tempoh 30 hari. Ianya seperti saranan Ketua Menteri agar jangan menangguhkan kelulusan pelan pembangunan terlalu lama hingga membebankan pelabur.

Salah seorang pengarah dari Kumpulan Hatten memberi taklimat kepada Ketua Menteri mengenai dengan cadangan Projek Pembinaan Bandar Terapung

Jaujan berkata, pembangunan sebegitu akan turut mengambil kira Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi memastikan pelaksanaannya tidak akan menjejaskan persekitaran dan hidupan marin di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia itu.

Ditanya tentang jumlah pelaburan yang akan terlibat, beliau berkata, jumlah pelaburan masih dalam perbincangan kerana taklimat mengenai konsep pembangunan itu baru sahaja dikemukakan kepada Ketua Menteri.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Hatten Sdn Bhd Datuk Wira Eric Tan Eng Huat berkata, pembangunan bandar terapung itu akan membolehkan Semporna dilengkapi dengan 10,000 bilik hotel mewah.

Beliau melihat pembangunan di atas air laut yang jernih (Crystal Clear Water) itu akan mampu menarik kira-kira 5 juta pelancong dalam setahun ke daerah Semporna.

”Pelan pembangunan ini akan mengambil masa selama 15 tahun untuk disiapkan. Ia akan melibatkan ramai pelabur bagi membina taman tema di atas air laut.

”Pembangunan ini akan memperkembangkan lagi ekonomi di Semporna. Bayangkan jika ada 5 juta pelancong dalam setahun dan setiap mereka berbelanja ribuan ringgit,” ujarnya.

Malah, beliau menjangka pembangunan itu mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 100, 000 anak tempatan di negeri ini.