Seminar `Mamasi Boros Tokou’ Bantu Martabat Bahasa Kadazandusun

178

KOTA KINABALU: Seiring dengan usaha memartabatkan bahasa Kadazandusun di negeri ini, Seminar `Mamasi Boros Tokou’ (Memulihara Bahasa Kita) dianjurkan oleh Persatuan Pelestarian Bahasa Kadazandusun (KPBK), di sini pada Sabtu.

Seminar yang disertai 50 orang peserta itu merupakan langkah tepat dalam usaha membantu memastikan bahasa Orang Asal Sabah ini tidak pupus ditelan zaman.

Presiden Penaja Koisaan Popoburu Boros Kadazandusun (KPBK) Datuk Lawrence Gimbang berkata, seminar itu memfokus kepada perkongsian maklumat mengenai sejarah dan kedudukan semasa serta masa depan bahasa rumpun Kadazandusun khususnya dialek Dusunik, Murutik, Paitanik dan Idaan.

Beliau berkata, persatuan yang sedang dalam proses didaftarkan itu akan terus bergerak aktif dengan memastikan bahasa rumpun Kadazandusun yang kini diancam kepupusan dapat diselamatkan.

“Laporan UNESCO 2005 mengklasifikasikan bahasa Kadazandusun sebagai salah satu daripada 7,000 bahasa di seluruh dunia yang akan pupus dalam tempoh 50 tahun.

Lawrence, depan empat dari kanan, bersama ahli ahli panel dan peserta yang menghadiri seminar anjuran KPBK.

“Sekarang sudah tahun 2019, bahasa ibunda ini tidak boleh dibiarkan hidup dengan sendiri, sesuatu perlu dilakukan. Atas sebab itu, persatuan ini ditubuhkan.

“Saya gembira kerana ianya mendapat sambutan tanpa mengira latar belakang politik dan agama seperti yang hadir pada seminar hari ini,” katanya semasa Majlis Perasmian Seminar `Mamasi Boros Tokou’.

Seminar itu menampilkan empat kertas kerja yang disampaikan tokoh berwibawa iaitu Damian Marcus Podtung, Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Rosliah Kiting, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bahasa Kadazandusun Rita Lasimbang dan Petrus Guriting.

Damian menyampaikan kertas bertajuk `Overview of Language Origin, Languages in Malaysia, Language Policy & the Impact on the Kadazandusun, Rosliah menyampaikan kertas kerja mengenai Hala Tuju, Cabaran dan Pemantapan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Kadazandusun.

Sementara Rita menyampaikan kertas kerja bertajuk Penggunaan Pilih Atur Dalam Menentukan Simbol Ortografi Tiga Bunyi Dalam Bahasa Kadazan (Plosif b & d, dan Hentian Glotis) dan Penerapan Ortografi Bahasa Kadazan kepada Bahasa Kadazandusun. Manakala, Petrus menyampaikan kertas kerja mengenai Rumi Bahasa Kadazandusun dan Perbandingan di antara Dialek Kadazandusun Pedalaman dan Dialek Kadazandusun Tangara.

Ahli panel yang turut hadir termasuk Datuk Eric Majimbun, Datuk Kadoh Agundong, Mojuntin Ebin, Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing serta Dr. Benedict Topin.