Sembilan Sekolah Luar Bandar Di Kota Belud Terima Bantuan Pengangkutan

peneraju

KOTA BELUD – Sembilan sekolah luar bandar, masing-masing lima sekolah menengah dan empat sekolah rendah di Kota Belud hari ini menerima bantuan pengangkutan sebagai kemudahan untuk pelajar yang memerlukan.

Bantuan merangkumi enam van, sebuah pacuan empat roda dan 200 basikal itu disumbangkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju).

Sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Usukan; SMK Arshad; SMK Taun Gusi I; SMK Taun Gusi II; Sekolah Kebangsaan (SK) Melangkap dan SK Lasau Podi; yang menerima bantuan pengangkutan van.

Sementara itu, SMK Narinang diberikan sebuah pacuan empat roda; manakala SK Suang Punggor; dan SK Pandasan pula masing-masing menerima 100 basikal.

Bantuan itu diserahkan oleh Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju Raja Azura Raja Mahayuddin kepada wakil Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), pengetua dan guru besar setiap sekolah dalam satu majlis yang diadakan di SMK Usukan, dekat sini.

Bercakap kepada pemberita, Raja Azura berkata bantuan pengangkutan sekolah luar bandar itu adalah yang pertama seumpamanya diadakan sebagai usaha membantu memperkasa pendidikan anak-anak di kawasan berkenaan.

Raja Azura berkata lebih RM1 juta diperuntukkan bagi menyediakan kenderaan itu dalam memastikan anak-anak di kawasan berkenaan dapat dibantu untuk hadir ke sekolah dengan lebih mudah dan selesa.

“Kami berharap dengan adanya bantuan ini para pelajar mendapat keselesaan dan juga boleh memberi fokus dalam pembelajaran sekali gus memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan mereka.

“Diharapkan juga kadar ponteng sekolah dapat dikurangkan,” katanya dan menambah kenderaan itu juga boleh digunakan untuk aktiviti sekolah pada hujung minggu selain mengambil dan menghantar pelajar.

Sementara itu, ketika ditemui Bernama, Pengetua SMK Narinang, Solingkoi Sidi melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas bantuan pengangkutan itu yang dilihat akan dapat mengurangkan kesukaran pelajarnya untuk ke sekolah.

“Kemudahan pengangkutan ini akan dapat membantu pelajar yang mengalami masalah kewangan untuk membayar tambang bas sekolah.”

Bagi Guru Besar SK Melangkap, Amliah @ Emilia Tim, kemudahan pengangkutan itu akan menjadi platform memotivasi muridnya untuk hadir ke sekolah sekali gus mengatasi masalah ponteng berikutan ada yang tinggal jauh dari sekolah.

“Ada dalam kalangan murid yang tinggal jauh dari sekolah iaitu kira-kira 6.7 kilometer. Oleh itu, dengan adanya bantuan pengangkutan ini akan dapat memberi kemudahan untuk murid-murid ke sekolah dengan lebih selesa,” tambahnya.