Sembilan Pos Kawalan PGA Berfungsi Seperti Balai Polis

KOTA KINABALU: Sembilan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) diperluaskan fungsi sebagai balai polis bagi memudahkan penduduk pedalaman dan kepulauan untuk berurusan dokumentasi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, setakat ini dua pos kawalan di Semporna dan Beluran serta masing-masing satu pos kawalan di Tawau, Kudat, Kota Belud, Kinabatangan dan Kota Marudu telah diperluaskan fungsi sebagai balai polis.

Beliau berkata, kementerian itu juga sedang melihat keperluan menambah bilangan pos kawalan PGA di sempadan negara dan terbaharu adalah di Pagalungan yang akan memperlihatkan pembinaan Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Bantul, Pagalungan.

Turut dinaik taraf perkhidmatan adalah Balai Polis Kerakit di Pulau Banggi, Kudat yang kini boleh mendaftarkan sijil kelahiran bayi.

Menurutnya, semasa berkunjung ke Pulau Banggi kelmarin, penduduk membuat aduan mengenai kesukaran mereka turun ke Pekan Kudat untuk mendaftar sijil kelahiran kerana terpaksa menaiki bot dengan kos mencecah RM100.

Justeru, beliau mengumumkan untuk menambah baik perkhidmatan balai polis tersebut untuk mendaftarkan kelahiran bayi baharu lahir.

Beliau berkata, selepas ini penduduk pedalaman itu boleh mendaftar sijil kelahiran anak tanpa perlu menaiki bot ke Pekan Kudat.

“Kelmarin, saya juga telah mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk menaik taraf Balai Polis Kerakit. Saya faham banyak lagi balai polis yang perlu dibangunkan di Sabah tapi, kita akan buat secara berperingkat.

“Dibawah Rancangan Malaysia Ke-12 sejumlah RM7.4 juta peruntukan diluluskan dalam Pelan Pusingan Kedua (RP2) bagi pelaksanaan lapan projek menaik taraf beberapa kemudahan balai dan penginapan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya semasa penutupan Program ‘Kita Demi Negara’ Zon Sabah hari ini.

Mengulas tentang operasi dilaksanakan oleh pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sepanjang 1 Januari hingga 31 Ogos, sebanyak 984,301 pemeriksaan terhadap orang, kenderaan dan bot.

“Daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 21 bot dirampas dan 371 orang ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan dengan anggaran nilai rampasan barang berjumlah RM26.1 juta.

“Sebanyak 220 tindakan pengusiran dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Jelas beliau, rekod kemasukan pelancong antara Jun hingga September adalah seramai 131,953 pelancong tempatan dan asing telah datang dan melancong ke lima destinasi Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) iaitu Kudat, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu dan Semporna.