Sembilan Pengemis Palauh Berdepan Hukuman Denda RM10,000 Di Lahad Datu

Oleh SURAIDAH ROSLAN
LAHAD DATU: Sembilan wanita palauh boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam Op Covid-19.

Kesemua wanita daripada komuniti Palauh yang berusia antara 17 hingga 41 tahun ditahan ketika melakukan aktiviti mengemis dengan tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga penjarakan fizikal dalam satu operasi semalam.

ROHAN SHAH

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, dalam operasi pemantauan Op Covid-19 yang dijalankan di dua lokasi pada 12 tengahari itu, sembilan wanita dan 25 kanak-kanak daripada komuniti Palauh ditahan.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan bagi mengesan individu yang meminta sedekah daripada penggua jalan raya tanpa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Katanya, operasi tersebut dijalankan di kawasan lampu isyarat berdepan Kedai D.I.Y Bandar Lahad Datu dan di lampu isyarat Bandar Sri Perdan, Lahad Datu.

”Kedua-dua kawasan ini menjadi lokasi utama kegiatan mengemis dalam kalangan suku Palauh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, sekiranya didapati bersalah boleh dihukum denda atau boleh dipenjara selama enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Kes turut disiasat mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam kawasan tempatan jangkitan) (Kawalan Pergerakan Pemulihan) (No.3) 2021 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka dan berkumpul tanpa penjarakan fizikal.

Jika didapati bersalah, individu boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara selama enam bulan, atau kedua-duanya sekali.