SEMBILAN PENDATANG TANPA IZIN DIBERKAS DI SKIM PENEMPATAN PELARIAN KIAMSAM

LABUAN: Sekurang-kurangnya sembilan pendatang tanpa izin dari Filipina termasuk remaja dan wanita ditangkap oleh polis Labuan dalam serbuan yang dilakukan di Skim Penempatan Masyarakat Pelarian Kiamsam di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Labuan Supt. Muhamad Farid Ahmad berkata, mereka yang ditahan dalam operasi pada pukul 1 pagi itu terdiri daripada dua wanita berusia 20 dan 42 tahun, dua kanak-kanak dan lima lelaki berusia antara 12 hingga 20 tahun.

Skim Penempatan Masyarakat Pelarian Kiamsam menjadi tumpuan operasi banteras pendatang tanpa izin berikutan ada mereka menghuni penempatan itu, dengan sebilangan terlibat dalam pelbagai sektor pekerjaan termasuk bekerja sendiri dan bidang pembinaan.

“Kami menahan mereka setelah didapati melakukan kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Muhamad Farid berkata dua daripada remaja tersebut (yang ibu bapanya adalah penduduk tetap dan warganegara Filipina) telah lama tinggal di penempatan tersebut tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

“Wanita berusia 42 tahun yang ditangkap bersama anak-anaknya telah berada di Labuan sejak 2018 untuk mencari pekerjaan tetapi tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Muhamad Farid berkata, sembilan orang itu direman selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1953/69, yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya dan boleh dikenakan hukuman sebat, jika disabit kesalahan.

“Kami memantau situasi di sekitar penempatan itu kemungkinan adanya kegiatan jenayah dan pencerobohan pendatang tanpa izin,” katanya.