Sembilan Lelaki Lolos Pusat Tahanan Sibuga Diburu

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Polis melancarkan operasi memburu sembilan lelaki yang melarikan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga, di sini, awal pagi semalam.

Semua tahanan itu dipercayai melarikan diri ketika hujan lebat dengan merosakkan jeriji tingkap di tandas pusat tahanan itu, kira-kira pukul 2 pagi.

Difahamkan, semua tahanan itu membabitkan kes imigresen dan dalam proses pengusiran pulang ke negara Filipina.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin, berkata operasi mengesan semua tahanan dilancarkan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan sebaik menerima laporan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar berhubung dengan bilik gerakan IPD Sandakan di talian 089- 212222 atau balai polis berhampiran.