Sembilan Anggota Polis Terlibat Pemerasan Belum Dipindahkan Ke Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU: Kesemua sembilan anggota polis yang dipercayai terlibat memeras ugut seorang ahli perniagaan di Gombak Selangor masih belum dipindahkan ke Sabah dan Sarawak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya mengambil maklum permintaan daripada Sabah dan Sarawak berhubung isu berkenaan.

“Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengumpul maklumat berkaitan isu ini.

“Malah, saya juga telah mengarahkan Jabatan Pengurusan PDRM untuk mengambil tindakan lanjut dan mengkaji semula perkara berkaitan dengan isu pemindahan anggota ini.

“Kami menghargai maklum balas daripada kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak,” katanya selepas mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) hari ini.

Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan akan disalurkan melalui Unit Komunikasi dan Korporat PDRM kepada pihak media.

Pada Selasa, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi menyatakan sembilan anggota polis yang dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak.

Kelmarin, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan kerajaan negeri memandang serius tindakan memindahkan sembilan anggota polis tersebut tanpa mendapatkan pandangan daripada kerajaan Sabah terlebih dahulu.

Hajiji berkata, pihak polis seharusnya memaklumkan dan berbincang tentang perkara itu dengan beliau sekalu Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum keputusan sebegitu diambil.