Semakan Kehakiman Atas Shafie Berniat Jahat Dan Berunsur Politik

Jelas sekali tindakan yang dibuat ke atas Shafie Apdal berniat jahat dan berunsur politik bagi mengelirukan rakyat memandangkan ia menjelang PRU14 dan selepas Parlimen dibubar.

Oleh BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Ahli-ahli serta penyokong-penyokong WARISAN diminta bertenang dan tidak khuatir dengan permohonan Semakan Kehakiman yang dibuat oleh Ainal Fatah untuk menghalang Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal untuk bertanding dan mengundi pada PRU14 akan datang.

Perkara ini dijelaskan oleh Setiausaha Agung Warisan Loretto S Padua Jr, “Sebagai seorang peguam, saya tidak boleh membincangkan merit kes ini memandangkan ia telah didaftarkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.”

LORETTO PADUA

“Dibawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan (Bahagian IV), seseorang akan hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen apabila; antara lainnya orang itu seorang yang bankrap, disabitkan kesalahan dan dihukum penjara lebih daripada 1 tahun dan denda lebih daripada RM2,000.00, memiliki warganegara lain dan tidak sempurna akal.

“Presiden Warisan bukanlah seorang bankrap dan tidak pernah beberapa kali bankrap, beliau tidak pernah dituduh, disabitkan dan dihukum penjara/ denda dan yang lebih penting Presiden Warisan tidak gila,” menurut Loretto dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata Semakan Kehakiman tidak boleh digunakan semata-mata untuk menafikan hak seseorang yang layak untuk mengundi dan bertanding didalam PRU.

“Ia lebih kepada menyemak keputusan yang dibuat oleh agensi serta badan kerajaan. Dalam kes ini, tidak ada perkara yang boleh disemak. Oleh itu, permohonan yang dibuat oleh Ainal Fatah ini tiada asas sama sekali.

“Jelas sekali tindakan yang dibuat ke atas Shafie berniat jahat dan berunsur politik bagi mengelirukan rakyat memandangkan ia menjelang PRU14 dan selepas Parlimen dibubar,” tabah beliau.

“Oleh yang demikian, saya menyarankan agar ahli-ahli parti diseluruh Sabah tidak keliru dan khuatir berkenaan dengan perkara ini. Apa yang berlaku jelas menunjukkan kerisauan UmnoBN terhadap Parti Warisan Sabah yang dipimpin oleh Shafie.

Loretto juga berkata barisan peguam Warisan akan memfailkan permohonan untuk membatalkan permohonan mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman dalam masa terdekat.