Seludup Masuk Sabah, Tekong & Empat PATI Ditahan

TAWAU: Cubaan menyeludup masuk perairan Sabah berjaya digagalkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan penahanan seorang tekong dan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Sungai Apas pada Rabu.

Dalam kejadian pada 11.10 malam itu, kesemua PATI warga Indonesia itu ditahan semasa memasuki perairan Tawau dengan menaiki bot jongkong.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Siva Kumar A/L Vengadasalam berkata, kesemua lelaki yang ditahan berasal dari Indonesia berumur antara 32 hingga 52 tahun.

Beliau berkata, tangkapan dibuat berikutan hasil maklumat risikan mengenai terdapatnya cubaan melintasi sempadan pada lewat malam.

Pemantauan melalui Ops Cegah PATI Selatan Covid-19 oleh bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan bot jongkong tanpa nombor pendaftaran tersebut yang bergerak dari arah sempadan perairan Indonesia ke Malaysia menuju ke perairan Tawau dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati tekong dan kru tersebut tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua PATI beserta bot jongkong seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan kelmairn.

Kesemua mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah(JPDS) dan Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua barangan termasuk bot jongkong, enjin bot, barangan persendirian disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM20,000.

Ujian saringan Covid-19 turut dilakukan ke atas kesemua tahanan.

Siva Kumar berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan
undang-undang negara sentiasa dipatuhi.

Orang ramai boleh menyalurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999.