Seludup Masuk Dadah Ke Sabah, Tiga Lelaki Ditahan DI KKIA

Zaini (dua kanan) bersama pegawai kanan polis Sabah yang lain menunjukkan dadah jenis ketamin dan pil eramin 5 yang dirampas di KKIA.

KOTA KINABALU: Cubaan menyeludup masuk dadah jenis ketamin dan pil eramin 5 ke Sabah dipatahkan apabila tiga lelaki tempatan berjaya diberkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini pada 25 Julai lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, dua suspek ditahan di KKIA pada 6.40 petang (25 Julai) sementara seorang lagi ditahan di sebuah rumah di Penampang pada 11 malam hari yang sama.

Beliau berkata, suspek pertama yang membawa satu bagasi ditahan ketika melalui pintu keluar sebelum melepasi pemeriksaan kastam.

“Hasil pemeriksaan mendapati bagasi itu mengandungi dadah jenis ketamin seberat 747gram dan 500 biji pil eramin 5 seberat 145gram.

“Dadah jenis ketamin yang bernilai RM30,000 itu ditemui dalam sebuah bekas plastik manakala, sebanyak 50 kerajang timah bertulis pil eramin 5 diletakkan dalam tin logam dan dalam balutan seluar pendek,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kotinjen Sabah, di sini pada Isnin.

Menurutnya, setiap kerajang timah itu mengandungi 10 biji pil dan kesemuanya sebanyak 500 biji yang dianggarkan bernilai RM7,500.

Beliau berkata, polis turut menyita sebuah kenderaan bernilai RM50,000 dan wang tunai sejumlah RM8,000 dalam tangkapan kes itu.

Jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM 95,000 dan hasil ujian air kencing mendapati suspek pertama dan kedua positif dadah jenis ketamin.

Kesemua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu berumur antara 25 hingga 37 tahun dan tinggal di kawasan Kota Kinabalu dan Penampang.

Zaini berkata, suspek mengaku membeli bekalan dadah daripada seorang lelaki tidak dikenali di Kuala Lumpur. Kesemua suspek ditahan reman bermula 26 Julai hingga 1 Ogos dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan khususnya di pusat hiburan. Tangkapan dan rampasan dadah jenis pil eramin 5 itu antara rampasan terbesar tahun ini dan ia kes tangkapan pertama di KKIA,” ujarnya.