Cubaan Seludup Warga Asing Di Kinabatangan; ‘Bos’ Ladang Ditahan

10436
Seramai 50 warga asing ditahan kerana dibawa masuk ke Sabah tanpa dokumen sah. Seorang penolong pengurus ladang turut ditahan. – Gambar ihsan PDRM Kinabatangan

KINABATANGAN: Seramai 50 warga asing yang cuba diseludup untuk bekerja di ladang kelapa sawit disini ditahan dalam serbuan di jeti Ladang Morisem, Sungai Kinabatangan di sini, petang semalam.

Dalam operasi jam 4.15 petang Isnin itu, turut ditahan adalah lima lelaki termasuk seorang penolong pengurus ladang yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan migran.

Dalam kejadian itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan bersama anggota Balai Polis Sukau menjalankan operasi di Sungai Kinabatangan sebelum menahan sebuah feri.

SUPT SAHAK RAHMAT

Feri terbabit yang membawa masing-masing warga Filipina dan Indonesia sebelum itu bergerak dari jeti Sukau ke jeti Ladang Morisem.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata pemeriksaan lanjut mendapati 50 warga asing termasuk 18 kanak-kanak yang menaiki tiga lori di atas feri itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Semua warga asing itu dipercayai dibawa dari sebuah ladang di Kinabatangan untuk bekerja sebagai buruh di ladang lain.

“Kita turut merampas tiga lori, satu pick-up dan tujuh motosikal yang dipercayai digunakan untuk membawa warga asing itu,” katanya di sini.

A Sahak berkata, semua warga asing yang ditangkap disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/ 1963.

“Lima lagi yang membawa warga asing terbabit disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.