Selepas tinggalkan MIC, Jothi kini tubuh PBIS untuk kaum India Sabah

777
Jothi bercakap ketika sidang akhbar untuk mengumumkan penubuhan PBIS.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Selepas meninggalkan MIC berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu, bekas Pengerusi MIC Sabah, Datuk V. Jothi tampil kembali dalam arena politik apabila menubuhkan parti baharu dikenali sebagai Parti Bersatu India Sabah (PBIS).

Walaupun sebelum ini bekas-bekas pemimpin MIC telah mengingatkannya agar tidak menubuhkan parti berasaskan kaum, beliau nampaknya tetap dengan pendirian untuk mencari platform politik bertunjangkan kaum India.

Sehubungan itu, timbul persoalan sama ada PBIS betul-betul ditubuhkan untuk membela masyarakat India di Sabah yang jumlahnya kira-kira 12,000 orang atau hanya sebagai talian hayat untuk beliau menyelamatkan karier politiknya yang dilihat sudah berakhir.

Sebelum ini, bekas Setiausaha MIC Sabah, Ron Ganasegaran berkata, kaum India di Sabah sudah pun mempunyai pilihan sama ada mahu menyertai Parti Warisan Sabah, DAP, PKR atau UPKO jika mahu menyertai parti politik memandangkan parti-parti berkenaan adalah untuk semua kaum.

Jothi bersama pimpinan PBIS dalam sidang akhbar mengumumkan penubuhan parti itu.

Katanya, penubuhan parti baharu apatah lagi yang berasaskan satu kaum sahaja dikhuatiri hanya memberi manfaat kepada sesetengah individu demi kepentingan peribadi.

Sementara itu, dalam sidang akhbar hari ini, Jothi menafikan beliau mempunyai agenda peribadi sebaliknya yakin kaum India di Sabah memerlukan parti mewakili mereka.

Ditanya apa bezanya MIC dengan PBIS, Jothi berkata, sebagai Presiden PBIS, beliau mempunyai kuasa penuh dalam membuat keputusan terhadap masalah kaum India tanpa perlu melalui pimpinan pusat seperti ketika bersama MIC.

“Ada masalah kaum India yang hanya boleh diselesaikan di peringkat negeri, maka sebagai Presiden saya boleh berjumpa terus dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk berbincang.

“Masih banyak masalah kaum India tidak selesai di Sabah seperti permohonan status penduduk tetap kepada golongan yang telah lama tinggal di sini sejak tahun 1970 lagi dan telah menyumbang kepada pembangunan Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Jothi berkata, kaum India amat berbesar hati dengan keikhlasan Mohd. Shafie menyampaikan bantuan kepada kuil-kuil di seluruh negeri baru-baru ini.

“Saya bersyukur Ketua Menteri memberi sumbangan RM20,000 kepada kuil di Sandakan, RM30,000 di Tawau dan RM50,000 untuk kuil di Lok Kawi,” katanya.

Mengulas mengenai PBIS, jelas beliau, parti itu kini dalam proses akhir pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sejak permohonan dibuat pada Ogos lalu.