Sektor Pertanian & Penternakan Perolehi RM459.64juta

105

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memberi perhatian kepada usaha membangunkan sektor pertanian di negeri ini dengan menyalurkan peruntukan berjumlah RM 459.64 juta kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Belanjawan Sabah 2020.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, peruntukan itu meliputi usaha membangunkan sektor perikanan dan penternakan yang turut dibawah kementerian berkenaan.

PERTANIAN

Daripada jumlah itu, sejumlah RM122.55 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pertanian bagi pelaksanaan program-program seperti penguatkuasaan biosekuriti, pembangunan komoditi tanaman, pembangunan usahawan pertanian dan program meningkatkan kualiti dan keselamatan makanan.

Bagi membantu meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi penduduk luar bandar pula, peruntukan sejumlah RM 18.99 juta disalurkan kepada Koperasi Pembangunan Desa (KPD) untuk melaksana program berkaitan pertanian di kawasan luar bandar.

Antara yang akan dilaksana termasuk Program Perladangan Kontrak yang dilihat akan membantu petani menjana pendapatan lebih baik melalui aktiviti pertanian.

Untuk Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) pula, sejumlah RM16.81 juta diperuntukkan bagi menaiktaraf infrastruktur asas di ladang-ladang, membina bangunan baharu, membina rumah kakitangan dan stor yang telah usang serta melaksana Program Latihan Kemahiran kepada pekebun kecil.

Pada 2020, seramai 2,000 pekebun kecil dijangka akan dilatih melalui program latihan berkenaan.

Selain itu, sejumlah RM6.2juta diperuntukkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran bagi membaikpulih dan menaiktaraf infrastruktur pengairan dan saliran bagi penanaman padi di pelbagai daerah dan sayuran tanah tinggi di Ranau.

Manakala, sejumlah RM24 juta diperuntukkan menerusi Belanjawan 2020 kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi membiayai program dan projek Pelan Pembangunan Pertanian 2021-2030.

Daripada jumlah itu, Lembaga Industri Getah Sabah menerima RM2.5 juta; Koperasi Nelayan sebanyak RM2.9juta, Jabatan Pertanian sebanyak RM5.3juta, Jabatan Perikanan sebanyak RM3.5juta, Jabatan Perkhidmatan Veterinar RM2.2juta, Jabatan Pengairan dan Saliran RM6juta dan Koperasi Pembangunan Desa RM1.6juta.

PENTERNAKAN

Peruntukan sejumlah RM68.38juta diperuntukkan bagi membangunkan sektor penternakan Sabah pada 2020.

Beliau berkata peruntukan itu akan diagihkan bagi membiayai pelaksanaan aktiviti tujuh program utama jabatan melibatkan seluruh daerah di Sabah.

Ia termasuk aktiviti membangun dan memantau lebih banyak penternak dan ladang ruminan bagi meningkatkan peratusan Tahap Sara Diri (SSL) Sabah dalam bidang penternakan.

PERIKANAN

Sejumlah RM49.66juta diperuntukkan kepada Jabatan Perikanan dan Koperasi Nelayan (Ko-Nelayan) menerusi Belanjawan Sabah 2020.

Peruntukan itu bagi membolehkan pengeluaran ikan dan hasil perikanan ditingkatkan kepada tahap optima dan mampan untuk memenuhi pasaran domestik dan juga eksport.