Sektor Perindustrian Sabah Akan Terus Kembang Dengan Kos Rendah

Madius (duduk lapan dari kanan) bersama barisan jawatankuasa FSI yang lain semasa Majlis Makan Makan sempena Ulang Tahun ke-35 FSI, di sini pada Sabtu. Madius mewakili Ketua Menteri Shafie Apdal di Majlis itu.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Langkah Kerajaan Negeri mengurangkan kos menjalankan perniagaan di Sabah dilihat akan membantu menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, Sabah mempunyai potensi yang besar untuk menjana kekayaan dan mewujudkan peluang pekerjaan melalui sektor perindustrian dengan memanfaatkan sepenuhnya sumber asli, meningkatkan hasil pertanian, perikanan, sumber petroleum serta mewujudkan lebih banyak produk berasaskan industri hiliran yang boleh dieksport.

Untuk itu, bantuan daripada organisasi seperti Persekutuan Industri Sabah (FSI) akan membolehkan pertumbuhan industri di Sabah terus berkembang.

Namun, dalam usaha menarik ramai pelabur dalam sektor ini, kerajaan akan berusaha menangani masalah berkaitan bekalan tenaga elektrik dan air yang sentiasa dilihat oleh pelabur.

Dalam pada itu, kerajaan juga berharap FSI akan membantu kerajaan menjayakan hasrat dalam membangunkan modal insan yang berpengetahuan dan mempunyai nilai yang baik.

Sektor perindustrian di Sabah akan terus berkembang dengan langkah kurangkan kos, kata Ketua Menteri dalam ucapannya di Majlis Makan Malam FSI. – Gambar internet

Shafie berkata, negeri ini memerlukan pemimpin muda yang berpengetahuan, bercita-cita tinggi dan bertanggungjawab bagi memastikan kejayaan pemimpin perniagaan pada hari ini dapat diteruskan pada masa depan.

Maka, langkah melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mempunyai kreativiti dan berinovatif dilihat mampu dilakukan dengan wujudnya Kementerian Pelajaran dan Inovasi di peringkat negeri.

“Inovasi amat penting dalam membangunkan perniagaan kerana ia dapat melahirkan idea baharu serta mewujudkan kaedah yang lebih efektif bagi memenuhi kehendak pelanggan,” katanya dalam Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun ke-35 FSI, di sini pada Sabtu.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Shafie juga memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan memberi sokongan kepada pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang ingin memulakan perniagaan serta mewujudkan suasana perniagaan yang kondusif untuk menarik pelabur asing.

Sektor perikanan di Sabah berpotensi besar.

Katanya, kerajaan akan bekerjasama dengan FSI bagi memanfaatkan kedudukan Sabah yang strategik dan kestabilan politik negeri ini untuk membina ekonomi yang mampan.

Sementara itu, Presiden FSI Datuk Chong Hong Len dalam ucapannya menghargai langkah kerajaan dalam menerima baik segala cadangan yang diberikan FSI termasuk untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan di Sabah.

“Kami sangat gembira apabila mengetahui kerajaan menerima baik idea dan cadangan yang dikemukakan FSI dan akan mempertimbangkannya.

“Kami hormati Kerajaan Negeri kerana mengambil tindakan yang konkrit dalam memastikan pengilang mendapat bantuan dan sokongan dari segi kewangan dan teknikal bagi membangunkan ekonomi negeri ini,” jelasnya.

Chong berkata, mereka juga menantikan pengwujudan Majlis Perindustrian Sabah yang akan menggalakan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta bagi membangunkan sektor perindustrian di Sabah selaras perkara enam dengan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).