Sektor Kesihatan Sabah Antara Keutamaan Untuk Warisan Sokong Belanjawan

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak mempunyai masalah untuk menyokong Belanjawan 2021 jika perinciannya secara menyeluruh untuk membantu rakyat, mengatasi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Presiden Warisan berkata, contohnya di Sabah, sektor perubatan dan kesihatan di negeri itu terlalu jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain, justeru Belanjawan 2021 perlu memberi fokus kepada menyelesaikan kekurangan tersebut demi manfaat rakyat Sabah.

“Tidak ada masalah bagi sokongan kalau ia berpatutan, bertepatan dengan ktia katakan selaras seperti apa titah Tuanku, Raja-Raja Melayu kepentingan rakyat kepentingan negara itu penting bagi kita.

“Kalau untuk kepentingan rakyat contohnya PRIHATIN bantuan makanan membantu bebanan kita akan bagi sokongan tetapi dalam pada itu contohnya kita di peringkat negeri Sabah contohnya perubatan sistem kesihatan yang begitu jauh ketinggalan bukan hanya jumlah doktor yang tidak mencukupi bahkan juga hospital yang ada kadang-kadang itu tidak cukup untuk kita kuarantin,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan perlu memastikan Covid-19 yang melanda Sabah diuruskan dengan sebaik mungkin termasuk menyediakan lebih banyak pusat kuarantin yang berdekatan dengan masyarakat demi memastikan rakyat tidak mengalami kesusahan.

“Saya dulu sehingga kita jadikan pusat sukan sebagai tempat kuarantin, beberapa hari lalu saya ada berhubung dengan doktor di daerah-daerah di Lahad Datu, Tawau, Kunak, Semporna saya kata jadikan dewan masyarakat di Pulau Bum-Bum sebagai satu pusat kuarantin.

“Kalau kita pindahkan pesakit ke pusat-pusat bandar di Tawau atau Semporna tidak akan mencukupi sebab tidak mudah bagi kita untuk pindahkah mereka tetapi kalau kita sediakan pusat seumpama itu di tempat yang tidak jauh maka perlu bagi kita ringankan beban rakyat, ini yang kita katakan prihatin belanjawan yang berkonsep prihatin kepada rakyat,” katanya dalam temu bual bersama Awani.

Mohd. Shafie berkata, beliau juga mahu Belanjawan 2021 bukan hanya berpaksikan kepada pembangunan semata-mata tetapi turut melibatkan rakyat dan komuniti perniagaan yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Tegasnya, semakin banyak syarikat kini bankrap dan tidak bermaya tetapi kerajaan mengutip sehingga RM160 bilion setahun cukai daripada mereka, justeru satu langkah perlu diambil untuk memastikan sektor ekonomi disuburkan kembali sebelum kerajaan mencukai syarikat-syarikat berkenaan.

“Kita kena tahu apa kerjasama yang kita lakukan, belanjawan contohnya kita kena tahu apa kekangan belanjawan yang ada, mahu mengatasi masalah contohnya Covid-19, peruntukan untuk apa bantuan untuk apa untuk kita katakan bahawa setiap tahun boleh menelan belanja RM200 bilion daripada ratus bilion itu peruntukan untuk apa yang harus disalurkan ke mana iaitu sama ada untuk mengatasi Covid-19.

“Kedua saya katakan tidak kurang pentingnya bagi kita mengatasi masalah ekonomi negara kita banyak syarikat di negara kita yang sudah lumpuh hasil negara kita yang kita peroleh setiap tahun tiga perempat daripadanya datang daripada cukai hampir RM160 bilion setiap tahun kita dapat cukai.

“Hari ini banyak syarikat sudah bankrap tidak begitu bermaya waktu kita mahu cukai mereka bagaimana kita kena suburkan ekonomi ini maka ada langkah-langkah dalam belanjawan itu untuk membolehkan supaya kita dapat menyuburkan kembali sama ada daripada segi cukai atau moratorium,” katanya.