Sektor Kelapa Sawit Di Sabah Bergantung Penuh Kepada Pekerja Indonesia

Sebanyak 90 peratus pekerja di sektor perladangan kelapa sawit di Sabah adalah dari negara jiran.
Sebanyak 90 peratus pekerja di sektor perladangan kelapa sawit di Sabah adalah dari negara jiran.

SANDAKAN – Sektor perladangan kelapa sawit di negeri ini bergantung sepenuhnya kepada tenaga kerja dari Indonesia.

Pengerusi Persatuan Penanam-Penanam Malaysia Timur (EMPA), Masri Pudin berkata, ini disebabkan rakyat tempatan tidak suka bekerja di sektor berkenaan.

“Ini masalah dihadapi sektor perladangan kelapa sawit di negeri ini di mana 90 peratus pekerja adalah dari negara jiran itu.

“Masalah tenaga buruh terus menjejaskan sektor perladangan kelapa sawit biarpun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengatasinya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama kertas kerja pada Seminar Mekanisme Minyak Sawit di sini, Selasa.

Seminar tiga hari bermula semalam dirasmikan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wira Ahmad Hamzah.

Beliau berkata, kesukaran mendapatkan tenaga kerja Indonesia disebabkan persaingan daripada industri perladangan kelapa sawit negara berkenaan.

Menurutnya, rakyat tempatan suka bekerja di kawasan bandar, masalah sama juga dihadapi Indonesia.