Sekolah Patuh SOP

Oleh SURAYA SHANAZ
KOTA BELUD: Jabatan Pendidikan Sabah puas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak sekolah termasuk kehadiran lebih 90 peratus pelajar, di negeri ini.

Pembukaan semula  sesi persekolahan bagi pelajar Tingkatan Satu hingga Empat, murid Tahun Lima dan Enam serta pelajar kelas peralihan, di seluruh negara, bermula hari ini

Pengarahnya, Dr Mistirine Radin, berkata dalam lawatan ke beberapa sekolah di daerah ini mendapati tahap kesedaran ibu bapa menghantar anak ke sekolah amat tinggi.

“Hari ini saya melawat dan memantau empat sekolah termasuk sekolah swasta, dua sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah, bertujuan melihat sama ada sekolah terbabit mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Saya mendapati sekolah yang dilawati mematuhi SOP yang ditetapkan  dan kehadiran juga lebih 90 peratus. Ini menunjukkan tahap keyakinan ibu bapa amat tinggi.

“Kehadiran murid amat bagus kecuali pra sekolah…saya tengok mereka (kehadiran) masih kurang 50 peratus. Kita lihat minggu depan bagaimana tahap keyakinan ibu bap menghantar anak mereka ke pra sekolah,” katanya selepas melawat beberapa sekolah rendah dan menengah di sini hari ini.

Antara sekolah yang dilawati ialah Selolah Jenis Kebangsaan Cina (SJLC) Chung Hwa Kota Belud dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang, Kota Belud.

Bagaimanapun katanya, masih ada sekolah yang perlu dibantu contohnya dalam susunan meja.

Sementara itu, seramai 271,707 pelajar di Sabah membabitkan sekolah rendah harian, sekolah rendah khas, sekolah rendah swasta, sekolah menengah harian, sekolah menengah khas dan sekolah menengah swasta, memulakan sesi pembelajaran hari ini.

Ini antaranya membabitkan murid Tahun 5 dan 6, pelajar peralihan, Tingkatan 1,2,3,4 dan Tingkatan 6 bawah.