Sekolah Alternatif Untuk Kanak-kanak, Remaja Terpinggir Di Sabah

KOTA KINABALU: Sekumpulan kanak-kanak dan remaja berpakaian biasa serta tidak berkasut berhimpun di bilik sebuah premis atas air di Batu 4, Pangkalan di Tawau untuk mengikuti kelas pendidikan asas.

Terpaksa duduk di atas lantai tanpa kerusi dan meja bukan penghalang bagi lelaki dan perempuan berusia tujuh hingga 17 tahun itu untuk mencari ilmu di ‘Sekolah Alternatif malah gigih selepas terpinggir daripada sekolah awam akibat tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Pengurus Sekolah Alternatif Wan Shakila Adiela Wan Azmi, 27, berkata selain di Tawau, sekolah di bawah seliaan Borneo Komrad, sebuah badan digerakkan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu turut dibangunkan di Semporna dan Kota Kinabalu dengan menampung seramai 150 murid.

“Sekolah Alternatif bermula di Semporna pada 2018 manakala Tawau dan Kota Kinabalu pada 2019.

Secara dasarnya, kita (Sekolah Alternatif) menerima pendaftaran murid dalam kalangan mereka yang tidak pernah mendapatkan pendidikan dan buta huruf selain datang daripada latar belakang keluarga mempunyai taraf ekonomi rendah.

“Tidak mempunyai dokumen (pengenalan diri) menyebabkan mereka tiada akses untuk mendapatkan pendidikan di sekolah awam tetapi Sekolah Alternatif tidak terhad kepada kanak-kanak dan remaja tanpa dokumen sahaja…majoritinya adalah kanak-kanak daripada golongan ini yang berbangsa Bajau dan Suluk,” katanya kepada Bernama.

Wan Shakila Adiela berkata lima guru lulusan universiti bekerja sepenuh masa di sekolah tersebut dan diberi gaji setimpal selaras graduan.

“Kewangan yang diperoleh untuk membayar komitmen guru setiap bulan adalah melalui sumbangan orang ramai, individu, tajaan badan bukan kerajaan (NGO), korporat serta geran. 

“Bangunan Sekolah Alternatif adalah rumah komuniti atas air yang kita sewa setiap bulan melalui komuniti lokal itu sendiri seperti sewa bulanan, utiliti dan penyelenggaraan. Dana ini turut diperoleh melalui sumber yang sama seperti tajaan guru,” katanya. 

Menurut Wan Shakila Adiela, pembelajaran di sekolah itu merangkumi kemahiran menulis dan mengira bagaimanapun proses pembelajaran terpaksa diadaptasi dengan penularan COVID-19.

Sekolah itu juga mengetengahkan beberapa mata pelajaran yang lebih meluas dan praktikal seperti Sekolah Alam, Kesihatan dan Keselamatan, Ekonomi Mandiri, Bikin Sendiri, Seni dan Sastera, Kemasyarakatan serta kemahiran berkomunikasi.

Wan Shakila Adiela berkata Sekolah Alternatif tidak mengenakan sebarang bayaran kepada murid kerana memahami latar belakang keluarga yang kebanyakannya miskin tegar. 

Beliau berkata tidak semua kanak-kanak dan remaja yang menerima pendidikan di Sekolah Alternatif mampu melepasi proses pendaftaran dan membayar komitmen di sekolah awam atau kerajaan. 

“Cabaran menjalankan Sekolah Alternatif ialah bagaimana untuk terus membawa advokasi bahawa setiap kanak-kanak adalah berhak kepada pendidikan, tidak kira bagaimana latar belakang mereka. 

“Inilah mesej yang cuba disampaikan kepada semua termasuk pihak berautoriti untuk meminta mereka bertanggungjawab terhadap hak pendidikan bagi kanak-kanak yang berada dalam sempadan negara kita,” katanya.

Borneo Komrad bermula dengan gerakan mahasiswa UMS dan terbentuk melalui gabungan dua kelab di universiti tersebut iaitu Kelab Sastera Mahasiswa (KARMA) dan Suara Mahasiswa UMS sejak tahun 2017.