Sekat Penerbangan China Langkah Tepat Dan Berani

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Pembatalan semua penerbangan terus dari China ke Sabah adalah tindakan tepat dan tegas diambil kerajaan dalam usaha mengekang daripada penularan wabak koronavirus ke negeri ini.

Bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan seluruh rakyat serta pelancong di negeri ini walaupun langkah itu menjejaskan ekonomi serta operator pelancongan.

“Langkah proaktif yang diambil kerajaan negeri dua hari lalu untuk melarang pelancong baharu datang ke Sabah adalah keputusan berat, malah tidak popular dalam kalangan pemain pelancongan tetapi itu adalah keputusan berani yang perlu diambil.

“Pasti ada kesan besar daripada segi ekonomi dan kewangan, banyak perniagaan akan terjejas, saya menggesa kesabaran dalam kalangan pemain industri pelancongan di saat sukar ini dan membantu mencari penyelesaian mengurangkan kesannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masidi berkata, keputusan negara-negara seperti Singapura dan Amerika Syarikat menyekat kemasukkan orang China ke negara mereka adalah panduan untuk kerajaan negeri turut bertindak lebih-lebih lagi selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan darurat kesihatan awam berikutan koronavirus.

Beliau berkata, wabak koronavirus perlu ditangani dengan baik oleh kerajaan seluruh dunia untuk mencegahnya daripada menjadi lebih teruk, justeru amat penting untuk Kerajaan Sabah menunjukkan kepemimpinan baik dan tegas dalam menghadapi cabaran mengikut kehendak masyarakat global.

“Wabak koronavirus memerlukan tindakan tegas daripada mana-mana kerajaan untuk mengelaknya daripada menjadi lebih teruk.

“Kesihatan rakyat kita dan keperluan mengekang penularan wabak itu adalah penilaian utama yang perlu diambil,” katanya.

Menurut Masidi, sebagai bekas menteri yang menguruskan pelancongan di Sabah selama 10 tahun, kehadiran pelancong China ke Sabah merupakan satu rahmat kepada negeri ini, justeru amat mendukacitakan apabila keputusan berat terpaksa diambil berikutan koronavirus.

Sementara itu katanya, ada baiknya jika situasi sekarang turut dijadikan satu iktibar kepada pihak berkuasa untuk memperbaiki langkah-langkah mempromosi pelancongan negeri ke wilayah dan negara-negara lain selain turut menggalakkan pelancongan domestik.

“Pelancong China akan kekal penting dalam pelancongan Sabah melihat kepada kedudukan geografi yang hampir antara China dan Sabah, kita menyambut baik sokongan mereka dan Sabah mahu pastikan negeri kami berterusan menawarkan persekitaran selamat dan sihat untuk dikunjungi,” katanya.