Sejumlah RM133 juta Bangunkan Tapak Pengurusan Sisa Pepejal Di Sabah

49
MOHAMMAD MENTEK

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM133juta bagi penaiktarafan dan pembinaan tapak pengurusan sisa pepejal di tiga kawasan yang sudah dikenalpasti di Sabah.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan Mohammad Mentek berkata, penaiktarafan tapak pengurusan sisa pepejal yang menelan belanja RM43juta itu akan dilaksana di Kayu Madang pada tahun ini kerana kawasan pembuangan sedia ada sudah penuh.

Beliau berkata, pembinaan tapak pengurusan sisa pepejal baharu dengan kapasiti 250tan sehari sedang dilaksana di Tawau dan ia dijangka siap pada Oktober ini.

Pembangunan tapak pengurusan sisa pepejal yang bernilai RM45juta di Tawau itu akan membolehkan sisa pepejal di kawasan Pantai Timur Sabah diurus dengan lebih baik. Ini sekaligus dapat mengurangkan pembuangan sisa pepejal secara haram.

Bagi pembinaan tapak pengurusan pepejal di Beaufort pula, ia sedang dalam peringkat reka bentuk kerana konsultan sudah pun dilantik.

Pembinaan projek bernilai RM45juta itu dijangka siap pada 2021. Apabila projek itu siap, ia akan menampung keperluan menguruskan sisa pepejal di kawasan Pantai Barat Sabah termasuk kawasan Sipitang, Menumbok dan Papar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan Kunjungan Hormat kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini pada Khamis.

Ditanya tentang rancangan memperluaskan Program Rumah Peduli Rakyat ke Sabah, Mohammad berkata, program yang dilancarkan Perdana Menteri di Melaka itu akan diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Selain itu, kementerian ini juga akan mengkaji keperluan untuk mewujudkan Rumah Transit Belia di Sabah seperti yang diwujudkan di Kuala Lumpur.

Melalui rumah transit belia ini, ia membolehkan belia berpendapatan kurang RM3,000 untuk menyewa di situ pada kadar RM250 sebulan bagi tempoh tiga tahun.

“Sekiranya ada keperluan untuk mewujudkan rumah sebegini di Sabah, kita akan pertimbangkan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohammad berkata, isu peruntukan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah disekat tidak seharusnya timbul.

Sehingga kini, sejumlah RM112juta peruntukan telah disalurkan kepada 25 PBT di Sabah bagi melaksana 1,200 projek berskala kurang RM1juta di seluruh negeri ini. Jumlah peruntukan itu sudah melebihi dari apa yang sepatutnya diperuntukkan.

“Tiada sekatan dalam penyaluran peruntukan berlaku terhadap PBT. Apa yang penting projek yang dilaksana perlu memberi impak kepada rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Menurutnya, secara purata setiap PBT akan menerima RM1.8juta setahun dan terdapat sebanyak 152 PBT di seluruh Malaysia.