Sejumlah 88.9 Peratus Pengundi Awal Turun Mengundi

478
Anggota dan pesara polis yang mengundi pada Hari Pengundian Awal di Bilik Gerakan, Balai Polis Membakut (kiri-kanan) Ag Taba Ag Tengah, Iswandy Ladi dan Redond Sadong.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KIMANIS: Hanya lapan daripada sembilan pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P176 Parlimen Kimanis hadir di Pusat Pengundian Awal di Bilik Gerakan, Balai Polis Membakut, di sini pagi tadi.

Jumlah itu mewakili 88.9 peratus pengundi awal yang hadir mengundi setakat 9.30 pagi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, proses pengundian awal berjalan lancar dan mematuhi peraturan pilihan raya.

Katanya, Pusat Pengundian Awal dibuka bermula 8 pagi sehingga 12 tengahari.

Ditanya mengenai proses perjalanan kempen setakat hari ke-11 ini, Elias berkata, biarpun setiap kempen berjalan lancar namun, terdapat enam kes dilaporkan berlaku kepada SPR atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Katanya, antara kes yang diterima membabitkan laporan mengenai sambutan Tahun Baru dan Krismas manakala, satu lagi laporan menidakkan laporan pertama. Kes-kes lain termasuk laporan mengenai penurunan banting.

Untuk pemantauan pasukan penguatkuasa setakat pagi ini, terdapat tiga kes sahaja dilaporkan berkaitan pemasangan banting dan kesalahan pilihan raya.

Kesemua peti undi awal akan disimpan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort dan pengiraannya akan dilakukan pada Hari Pengundian pada 18 Januari di Pusat Pengiraan Undi berkelompok di Bilik Mesyuarat 2, Pejabat Daerah Beaufort.

Suasana di Pusat Pengundian Awal di Bilik Gerakan, Balai Polis Membakut.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Bongawan dan DUN Membakut dengan sejumlah 29,644 orang pemilih yang layak mengundi. Ia termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir di luar negara.

Pengundi di parlimen ini terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan. DUN Bongawan mempunyai 16,273 orang dan DUN Membakut mempunyai 13,391 orang.