KUALA LUMPUR: Institusi Parlimen sebagai badan legislatif negara, dicemari dengan campur tangan politik demi mengekalkan kuasa oleh Perikatan Nasional (PN) selepas pertama kali dalam sejarah Yang Dipertua Dewan Rakyat dipecat oleh usul yang dibentangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tan Sri Mohamad Arif Md. Yusof yang mempunyai rekod cemerlang mempengerusikan Dewan Rakyat dipecat selepas PN mendapat sokongan 111 undi berbanding 109 undi di blok pembangkang melalui undi belah bahagian yang dilakukan.
Selepas pemecatan Mohamad Arif dengan alasan remeh bahawa ada calon lain untuk jawatan itu, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun dilantik tanpa melalui undian daripada wakil rakyat.
Berikutan pemecatan Mohamad Arif, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming kemudiannya meletakkan jawatan beliau.
Usul memecat Mohamad Arif dibentangkan di Dewan Rakyat atas kebenaran Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang mempengerusikan mesyuarat, namun beliau mendapat bantahan hebat daripada blok pembangkang yang tidak berpuas hati dengan cara mesyuarat dikendalikan.
Ini berikutan Mohd. Rashid hanya membenarkan empat wakil rakyat membahas usul berkenaan iaitu masing-masing dua daripada kerajaan dan pembangkang serta setiap pembahas hanya diberikan masa 10 minit.
Empat pembahas kemudiannya membahaskan usul itu iaitu Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr. Mahathir Mohamad (Langkawi), Nik Mohamad Zawawi Salleh (Pasir Puteh) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau).
Belum pun perbahasan bermula, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Sing Deo mencelah dengan Peraturan Mesyuarat meminta Mohd. Rashid membuat ketetapan tentang keputusannya membenarkan usul tersebut kerana kerusi itu tidak kosong.
Mohd. Rashid bagaimanapun tidak menjawab persoalan tersebut sebaliknya meminta untuk Anwar meneruskan perbahasan menyebabkan semakin ramai Ahli Parlimen pembangkang lain tampil membantah.
Dr. Mahathir ketika berbahas berkata, usul tersebut sebenarnya tidak mengikut peraturan, malah tujuan utama PN memecat Mohamad Arif adalah untuk memastikan penggantinya nanti adalah orang patuh dan menjadi boneka kepada PN.
“Saya bangun untuk menentang usul ini jika ini adalah usul, saya belum pasti sama ada ini usul atau pun tidak kerana diadakan dalam keadaan yang tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan kita atau Peraturan Mesyuarat, saya baca saya tak nampak ada ditulis di situ bahawa Perdana Menteri boleh tukar Speaker tanpa sebab pasal ada calon lain.
“Tuan yang dipertua perkara ini seperti yang dikatakan saudara daripada Port Dickson, ini perkara besar untuk kita bahas dua orang sahaja daripada parti lawan ini seolah-olah menutup mulut parti lawan, ada yang bercakap berkenaan dengan Parlimen, Parlimen komposisi dia parti kerajaan parti lawan.
“Oleh kerana ini adalah usul daripada kerajaan kita mesti ikut usul dalam Parlimen tak ditentukan bahawa semua yang datang daripada kerajan itu dipersetujui di Parlimen, memang pun menjadi hak parti lawan untuk menyoal sebabnya sesuatu usul itu dibawa dan kita dah tanya akan sebabnya yang kita nak gugurkan nak buang Speaker apa salahnya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika mencelah perbahasan mengingatkan dewan bahawa Malaysia dibina atas tiga tiang seri iaitu raja, Parlimen dan badan eksekutif, justeru tidak sepatutnya ada campuran kuasa eksekutif di dalam Dewan Rakyat.
“Saya lihat perbahasan, perbincangan yang dibangkitkan kita lupa asas negara ini, negara ini berdiri atas tiga tiang seri pertama raja kita agong, kedua Parlimen ketiga eksekutif yang ada ini adalah asas penubuhan negara ini ada pengasingan kuasa, eksekutif tidak boleh mencapuri Parlimen.
Parlimen mempunyai kuasa membuat keputusan ada perbezaannya masa menteri boleh buang tapi Parlimen Yang Dipertua ada kedaulatan dia,” katanya.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, Mohamad Arif telah menjalankan tugas dengan cemerlang, justeru tiada sebab beliau perlu dipecat melainkan keputusan itu dibuat untuk kepentingan PN.
“Tan Sri Arif telah menjalankan tugas dengan cemerlang dalam sejarah Parlimen dia bentuk Jawatankuasa Pemilih yang belum pernah dilakukan sebelumnya fokus Parlimen mengenai governance dan memberikan ruang perubahan yang sedang diteruskan.
“Jadi bila ada usul daripada Perdana Menteri kemudian tidak memberikan penjelasan dan minta kita putuskan begitu sahaja jangan kira soal parti kalau bagi penjelasan yang kuat kita boleh pertimbangkan saya percaya Ahli Parlimen sebelah sana yang pernah berkhidmat dalam Jawatankuasa Pemilih yang pernah berkhidmat dan berjumpa Tan Sri Speaker tahu dalam beberapa kes dia mengambil keputusan yang sangat profesional,” tegasnya.