Segerakan pembangunan Kampus JPSM di Kundasang, Ranau

Yakub menyampaikan sijil kepada graduan ILTP dalam majlis koovokesyen yang diadakan di SICC, Kota Kinabalu.

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) diharap supaya dapat menyegerakan pembangunan Kampus JPSM di Mesilou Kundasang, Ranau.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, pembangunan kampus itu akan dapat menambah bilangan belia untuk menjalani latihan dalam bidang kemahiran.

“Seiring dengan inisiatif Pembangunan Modal Insan dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025, saya sangat berharap agar JPSM dapat menyegerakan pembangunan Kampus JPSM di Mesilou Kundasang, Ranau dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) ini.

“Pembangunan kampus ini saya yakin selain dapat menambah bilangan belia menjalani latihan kemahiran, ia juga akan turut memacu pembangunan sosio ekonomi masyarakat Ranau khasnya dan daerah berdekatan amnya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Konvokesyen Jabatan Pembangunan Sumber Manusia Siri 1 Tahun 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Yakub dalam pada itu turut bersetuju dengan rancangan JPSM untuk pembinaan beberapa buah Kampus Satelit di lima daerah terpilih di Sabah.

“Langkah  ini amat tepat dan relevan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Sabah dapat menjalani latihan di daerah sendiri tanpa perlu berhijrah  ke tempat lain,” katanya.

Dalam ucapannya turut berkata, kerajaan Sabah sentiasa memberi komitmen tinggi dalam usaha membangunkan modal insan yang berkualiti.

“Ini penting kerana keperluan terhadap tenaga kerja mahir kini semakin meningkat seiring dengan perkembangan teknologi dan era pendigitalan.

“Pada masa kini, pekerja yang berkemahiran tinggi adalah diperlukan untuk melaksanakan tugas yang semakin kompleks, membuat inovasi dan menambah baik proses serta produk melalui penggunaan teknologi baharu.

“Justeru, latihan diperlukan sebagai usaha melahirkan pekerja yang mahir, inovatif, dan kreatif,” katanya.

Terdahulu, seramai 161 graduan Institut Latihan Teknikal Dan Perdagangan (ILTP), JPSM tamat latihan bidang kemahiran menerima sijil dalam majlis konvokesyen itu.