Seekor buaya Tembaga dilihat di Paya Bakau Kina Benua

197

LABUAN: Seekor buaya Tembaga ditemui berhampiran tempat memancing yang popular di Taman Ekologi Paya Bakau Kina Benua petang semalam, menimbulkan pelbagai reaksi kepada pemancing dan penduduk tempatan.

Laporan Bernama di portalnya hari ini, Buaya Tembaga (crocodylus porosus) sepanjang kira-kira 1.7 meter dilihat keluar daripada paya bakau tersebut sebelum berenang menuju ke sungai Kina Benua.

Seorang pemancing, Mohd Zaid Kasim@Achai memberitahu Bernama yang beliau sedang menuruni dinding konkrit di situ untuk mencuba umpan tiruan yang baru dibelinya, terkejut apabila melihat reptilia tersebut kira-kira jam 1.34pm.

“Apabila sampai, saya terus turun dinding konkrit itu yang merupakan kawasan memancing kegemaran saya dan ternampak satu objek terkujur di dinding dan pada mulanya saya ingat seekor biawak, namun ia seekor buaya,” katanya.

Mohd Zaid kemudiannya terus merakamkan buaya tersebut dan memberikan amaran kepada orang ramai dan pemancing melalui Facebook mengenai buaya tersebut.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar ketika dihubungi mengesahkan telah menerima satu video dan juga gambar buaya berkenaan, namun memaklumkan sehingga kini buaya berkenaan tidak pernah mengganggu manusia mahupun memasuki kawasan taman tersebut.

Pada Januari tahun ini, seekor buaya berukuran 1.8 meter telah dilihat di Pantai Mawila dan mengejutkan orang ramai yang mengunjungi pantai tersebut.