Sedco Ketuai GLC Sabah Mengurus Tebatan Banjir Di Beaufort

BEAUFORT: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri akan mengetuai pengurusan tebatan banjir di daerah ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata ia termasuk cadangan mendalamkan Sungai Padas dan menjajar semula tebing sungai itu.

“Kerajaan negeri akan menimbang semula semua cadangan kerana ia usaha berterusan kerajaan negeri dalam menangani masalah banjir di Beaufort,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Mohd Dun Banir dan Dewan Pa’ Musa di sini hari ini.

Hajiji berkata banjir telah lama menjadi masalah di daerah Beaufort sehingga membawa kesusahan  kepada penduduk kampung.

Sementara itu, beliau menasihatkan mereka yang berlindung di PPS supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk mencegah jangkitan COVID-19.

Kira-kira 217 orang daripada 68 keluarga berada di PPS di daerah Beaufort.