‘Sedarlah Rakyat Sulaman, Jika Kamu Mahu Perubahan’

Oleh SURAIDAH ROSLAN
TUARAN: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengajak rakyat Sulaman untuk bangkit bersuara menolak parti Malaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata, tunjukkan kepada pemimpin dari Kuala Lumpur bahawa rakyat Sabah tahu apa yang orang Sabah mahukan.

Katanya, pilihan raya ini cukup bersejarah dan mesej yang beliau mahu sampaikan adalah ‘Sabah Kita Punya’.

“Kali ini tunjukkan kebulatan kita melalui pilihan raya. Jika dilihat ramai menteri-menteri (Semenanjung Malaysia) datang Sabah untuk ajar kita, apa kita mahu.

“Jangan ajar orang Sabah, apa kita mahu. Sudah berpuluh tahun mereka ajar apa kita mahu.

“Sekarang kuasa ada ditangan rakyat untuk mengundi siapa yang dimahukan sebab itu menteri-menteri kerajaan pusat datang untuk menentukan siapa kita patut undi.

”Oleh itu, pastikan kita (Warisan) menang di Tuaran bagi memperjuangkan hak Sabah,” katanya semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Sulaman dan Pantai Dalit, di sini semalam.

Di bawah pemerintahan Warisan, 17 daripada 21 perkara yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya diselesaikan.

Itu membuktikan komitmen kerajaan Warisan dalam memperjuangkan suara dan hak Sabah daripada kerajaan persekutuan.

Tambahnya, rakyat Sabah perlu sedar, sudah hampir 60 tahun Malaysia dibentuk namun, negeri ini masih jauh ketinggalan dalam aspek kemudahan infrastruktur asas.