SEC Usaha Cari Pelabur Dalam Industri Gas

29
HARUN ISMAIL

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOBE, JEPUN: Syarikat milik kerajaan, Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC), memanfaatkan sepenuhnya kelebihan Sabah sebagai pengeluar gas dan minyak mentah untuk dipromosikan kepada syarikat-syarikat berkaitan industri itu di Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutif SEC, Datuk Harun Ismail berkata, setakat ini, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan tiga syarikat industri itu di Kobe, Jepun untuk menghasilkan usahasama dalam pelaburan berkaitan gas dan tenaga.

Beliau berkata, jika berjaya, kemasukkan pelabur ke Sabah boleh mencecah sehingga jutaan ringgit dalam industri itu.

“Kami akan melihat lagi peluang ini di Nagoya dan Tokyo untuk lebih banyak pemadanan perniagaan, kalau boleh kita mahu bawa syarikat-syarikat Jepun yang berasaskan kepada tenaga dan penggunaan gas serta sebagainya untuk menubuhkan kilang-kilang dan juga loji-loji mereka di Sabah agar memberikan peluang bekerja di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Borneo Today sempena misi pelaburan Kerajaan Sabah di sini hari ini.

Harun berkata, dasar memudahkan pemberian kelulusan kepada syarikat pelabur yang kini diamalkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal memberi satu platform terbaik kepada pembangunan industri itu tidak lama lagi.

Jelasnya, Sabah merupakan negeri berpotensi sebagai ‘lubuk’ dalam industri itu terutama kepada syarikat Jepun berdasarkan prestasi negeri ini sebagai pengeluar jumlah gas kedua terbesar di Malaysia.

“Kita ada tiga atau empat tempat yang amat sesuai untuk industri tenaga salah satunya di Kota Kinabalu, atau di Sipitang kerana gas ada di Sipitang, di Lahad Datu dan kalau tenaga yang boleh diperbaharui paling sesuai di pantai timur seperti Tawau serta Semporna,” katanya.