Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu kenyataan berkata dengan perkembangan tersebut, SEC kini memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan industri dan pembangunan ekonomi di Sabah.
“Ini menandakan pertumbuhan ekonomi negeri adalah selaras dengan aspirasi kerajaan negeri di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani GSA dan HOA.
GSA pertama ditandatangani di antara SEC dan SBH-Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd untuk pemprosesan pasir silika dan projek pembuatan panel solar, kata kenyataan itu.
“SBH Kibing melabur RM2 bilion di Sabah, yang dijangka membawa manfaat besar kepada negeri dari segi meningkatkan pelaburan langsung asing, mewujudkan kira-kira 1,800 peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah, dan kesan sampingan ekonomi yang lain,” katanya.
SEC juga menandatangani GSA dengan SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd yang melabur RM4.2 bilion untuk membina kemudahan pembuatan kerajang tembaga luar negara yang pertama di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, yang mana kira-kira 500 peluang pekerjaan akan diwujudkan.
Perjanjian itu adalah sebahagian daripada usaha Sabah untuk mempromosikan industri bukan tenaga dan meletakkan negeri itu sebagai hab bagi komponen kenderaan elektrik, kata kenyataan itu.
SEC turut menandatangani HOA jualan gas dengan anak syarikat Petronas Gas Bhd, Regas Terminal (Lahad Datu) Sdn Bhd untuk membekalkan gas asli.
“Melalui perjanjian bekalan gas jangka panjang ini, SEC akan berperanan sebagai pembekal gas kepada projek loji bernilai RM230 juta yang diumumkan baru-baru ini di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip) di Sipitang,” katanya.
Ia berkata projek loji itu yang disasarkan siap pada suku pertama 2026 akan memainkan peranan penting sebagai pembekal tenaga tunggal kepada kemudahan gas asli cecair terapung pertama di Sabah dengan kapasiti dua juta tan setahun, selain berfungsi sebagai sumber tenaga yang berpotensi untuk pengguna masa depan di Sogip.
Kenyataan itu juga berkata pada 17 Jan, 2023, SEC memuktamadkan perjanjian novasi penjualan gas asli dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Petronas Carigali Sdn Bhd dan pengeluar tenaga bebas (IPP) sedia ada dengan jumlah kapasiti 880 megawatt.
“Perjanjian novasi ini menandakan pentingnya syarikat milik kerajaan itu sebagai pembekal gas asli utama untuk sektor tenaga,” katanya.
Ia berkata wakil IPP, iaitu Kimanis Power Plant Sdn Bhd, SPR Energy (M) Sdn Bhd, Ranhill Powertron Sdn Bhd, Ranhill Powertron II Sdn Bhd, dan Sepangar Bay Power Corporation Sdn Bhd, hadir untuk menerima dokumen yang ditandatangani daripada SEC. – Bernama