Sebuah Premis Diberi Amaran Tukar Tanda Harga Ikut Harga Siling Minyak Masak

KOTA KINABALU: Sebuah premis diberi tindakan amaran untuk menukar tanda harga minyak masak kepada tanda harga baharu susulan penetapan harga siling minyak masak botol bermula hari ini.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Georgie Abas berkata, berdasarkan pemeriksaan di tujuh premis, hanya sebuah premis belum menukar tanda harga baharu dan telah diberi tindakan amaran.

Beliau berkata, berdasarkan harga siling yang ditetapkan bermula hari ini hingga 7 September, harga minyak masak bagi satu kilogram RM7.70, dua kilogram RM14.70; tiga kilogram RM21.70 dan lima kilogram RM34.70.

“Berdasarkan kepada tinjauan pemeriksaan dan pemantauan sebentar tadi, sebanyak tujuh premis tumpuan telah diperiksa.

“Hasil daripada tinjauan tersebut mendapati sebanyak enam premis telah mematuhi penetapan harga siling minyak masak sawit tulen botol manakala, satu premis lagi telah diberi amaran dan diminta untuk menukar tanda harga siling baharu serta-merta kerana masih menggunakan tanda harga lama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab untuk memastikan kestabilan harga barangan dan keberadaan bekalan, kementerian ini akan sentiasa menjalankan pemeriksaan setiap hari untuk melihat sendiri tahap pematuhan peniaga sempena pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Minyak Masak.

Kementerian ini juga akan memaklumkan kepada pengguna bahawa kerajaan begitu prihatin dan serius dalam membantu mengurangkan beban Keluarga Malaysia akibat peningkatan kos sara hidup yang berlaku melalui langkah penetapan harga maksimum ini.

Peniaga juga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Walau bagaimanapun, peniaga digalakkan untuk menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh daripada pembekal lebih rendah.

“KPDNHEP berharap agar semua peniaga termasuk premis-premis yang berada di luar bandar untuk terus mematuhi semua perundangan yang dikuatkuasakan oleh pihak kementerian bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas.

“Peniaga juga perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan keberadaan barang keperluan terutamanya minyak masak serta tidak mengambil kesempatan dengan mengambil keuntungan secara tidak munasabah (mencatut),” katanya.

Jika gagal mematuhi peraturan ditetapkan, peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Penentuan Harga Maksimum Minyak Masak melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.