Sebuah Bilik Penginapan Di Laban Rata Terbakar

Oleh SURAIDAH ROSLAN
RANAU: Sekumpulan malim gunung berdepan detik cemas apabila bilik penginapan yang didiami di Laban Rata, Gunung Kinabalu terbakar dalam satu kejadian, semalam.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 10.20 malam dan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Mencari dan Menyelamat di Gunung (MOSAR) telah memadamkan kebakaran yang memusnahkan 30 peratus bilik penginapan malim gunung tersebut.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada penggunaan lilin. Ketika kebakaran berlaku, semua pendaki dibawa ke kawasan perhimpunan kecemasan

Pengurus Taman Kinabalu, Yassin Miki berkata, laporan penuh mengenai insiden kebakaran tersebut belum diperoleh. Namun, insiden itu tidak menjejaskan penginapan pendaki sebaliknya, hanya membabitkan penginapan malim gunung sahaja.

Menurutnya, kejadian itu juga tidak mendatangkan sebarang kerosakan kepada bangunan Laban Rata.

“Aktiviti pendakian tidak terjejas dan pendakian berjalan seperti biasa.

“Kerosakan yang berlaku membabitkan ruang bilik seluas 10’ x 15’ yang mempunyai tiga buah katil bertingkat bersama tilam,” ujarnya.

Beliau berkata, malim gunung terpaksan menggunakan lilin disebabkan genset di Panalaban masih dalam proses pembaikan.