Sebanyak 55 Kompaun Langgar SOP Dikeluarkan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sebanyak 55 kompaun telah dikeluarkan, dengan 265 kenderaan diarah berpatah balik dalam sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan sepanjang tempoh 24 jam yang lepas.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, sebanyak 43,798 kenderaan telah diperiksa dalam 21 SJR yang diadakan di 64 lokasi yang ditetapkan di seluruh Sabah.

Beliau berkata, setakat ini pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini adalah 96.13 peratus.

Dalam meningkatkan kesedaran orang awam mengenai jangkitan Covid-19, hebahan Info on Wheels (IoW) oleh Jabatan Penerangan Sabah telah dilakukan dengan menggunakan 10 kenderaan.

Menurutnya, kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Mengenai agihan bakul makanan, sehingga kini sebanyak 87,299 bakul makanan diagihkan di seluruh kawasan yang melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan mereka yang diperintahkan menjalani kuarantin.