Sebanyak 466 Sekolah Di Sabah Tidak Selamat

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KUALA LUMPUR: Sebanyak 466 buah sekolah di seluruh Sabah berada dalam keadaan tidak selamat untuk digunakan mengikut analisis skor gred impak yang dijalankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Pendidikan, Mohd. Radzi Md. Jinin berkata, 52 buah sekolah berada pada skor maksimum tujuh, iaitu tidak selamat digunakan dengan pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya (JK).

Katanya, 414 buah sekolah berada pada tahap skor enam iaitu tidak selamat dengan pengesahan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD).

“Dalam hal ini KPM mempunyai maklumat perincian mengenai fizikal komponen atau fasiliti bangunan sekolah yang tidak sempurna, tidak berfungsi dan tidak selamat digunakan,

untuk makluman mulai tahun 2019 KPM melaksanakan analisis skor gred impak sebagai penambahbaikan bagi menentukan tahap keadaan fizikal komponen atau fasiliti bangunan sekolah daif.

“Skor ini mempunyai tujuh tahap di mana tahap enam adalah bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan daripada JPN dan PPD manakala tahap tujuh adalah bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan daripada JKR, melalui penilaian ini kKPM dapat menentukan keutamaan untuk melaksanakan projek pembangunan semula atau menaik taraf bangunan sekolah yang tidak selamat digunakan.

“Khususnya untuk negeri Sabah, sehingga 31 Mei 2020, terdapat sebanyak 414 buah sekolah yang mempunyai bangunan pada tahap skala impak enam dan 52 buah sekolah pada tahap skala impak tujuh,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau di Dewan Rakyat hari ini.

Madius bertanya kepada Mohd. Radzi adakah KPM sedar mengenai kewujudan sekolah-sekolah daif di Sabah dan apakah langkah-langkah diambil untuk mengatasinya.

Beliau turut meminta penjelasan tentang langkah kerajaan mengatasi keadaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephen di Kiulu yang daif dan tidak selamat.

Mohd. Radzi berkata, bagi tujuan menaik taraf dan membangunkan semula bangunan daif sekolah di seluruh negeri sabah, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1.252 bilion dalam tempoh RMK 11 iaitu bagi tahun 2016 hingga 2020.

“Peruntukan ini adalah untuk membiayai kerja-kerja naik taraf dan membangunkan semula bangunan daif di 237 buah sekolah di Sabah dalam RMK11 (Rancangan Malaysia Ke-11). Baki bangunan daif lain akan dinaik taraf dalam RMK12 tertakluk kepada keupayaan kewangan kerajaan.

“KPM juga menggunakan peruntukan daripada program khusus penyelenggaraan institusi pendidikan untuk tujuan penyelenggaraan berdasarkan keutamaan mengikut skala impak ini, bagi tahun 2020, peruntukan penyelenggaraan bagi negeri Sabah adalah sebanyak RM39.5 juta,” katanya.

Mengulas tentang keadaan SMK Tun Fuad Stephen, Mohd. Radzi berkata, sebanyak RM1.5 juta telah diperuntukkan untuk sekolah itu, namun pelawaan tender masih dibuka ketika ini selepas ditangguhkan berpunca daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mengikut perancangan, kerja-kerja membaiki asrama dan fasiliti lain di sekolah tersebut akan dapat diselesaikan dalam tempoh lapan bulan selepas proses perolehan dibuat, pada peringkat awal pihak JKR bercadang untuk membuat pelawaan tender pada bulan Mac 2020 walaubagaimanapun pelawaan tender ini ditangguhkan berikutan PKP.

“Terkini, pihak JKR telah membuka iklan tender pada 30 Jun 2020 dan akan ditutup pada 3 Ogos 2020, untuk makluman ahli YB terdapat 315 murid yang tinggal di asrama di SMK Tun Fuad Stephen, memandangkan asrama tidak selamat digunakan pihak sekolah telah mengubah suai dewan makan, rumah guru dan bilik darjah  untuk dijadikan asrama sementara, seramai 114 murid ditempatkan di asrama sementara ini.

“Selain daripada itu pihak sekolah dengan kerjasama badan bukan kerajaan NGO telah menyediakan penginapan untuk 58 murid di bangunan berdekatan dengan sekolah yang telah diubah suai menjadi asrama, baki 143 orang lagi berulang alik dari rumah ke sekolah, pihak sekolah sedang mengubah suai beberapa fasiliti sekolah dan mengenal pasti premis berhampiran sekolah yang bersesuaian untuk disewa sebagai tempat tinggal sementara bagi menampung baki murid ini,  sementara menunggu fasiliti sementara ini siap, KPM akan menampung tambang pengangkutan bagi murid yang berulang-alik dari rumah ke sekolah,” katanya.