Sebanyak 450 Anggota Polis Marin & Maritim Laksana Op Covid-19

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah mengerakkan 42 bot ronda dengan kekuatan 450 orang pegawai dan anggota bagi menjalankan pemantauan Op Covid-19 di perairan Sabah.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, atur gerak semua aset-aset itu dilakukan abgi memastikan masyarakat maritim di perairan Sabah mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa sehingga 14 April.

Beliau berkata, terdapat 14 pusat pemeriksaan di laut yang telah ditetapkan bagi mengawal pergerakan penduduk yang tinggal di pulau ke daratan serta dari daratan ke pulau.

Menurutnya, setakat ini kadar pematuhan PKP di perairan Sabah juga sama seperti di daratan iaitu 95 peratus seperti dimaklumkan Pesuruhjaya Polis Sabah.

“Jika dilihat di Sabah mempunyai 52 pulau yang mempunyai penduduk. Untuk Pulau Gaya sahaja ada enam kampung dengan 17,000 orang penduduk.

“Dengan jumlah penduduk yang ramai, kita tidak nafikan akan berlaku pergerakan bagi urusan penting seperti bekerja dalam sektor penting, sakit mahupun keluar menangkap ikan selaku nelayan.

“Jadi, untuk mengatakan pematuhan di perairan 100 peratus itu agak mustahil sebab manusia juga mempunyai keperluan penting untuk diuruskan,” katanya selepas Mesyuarat Kerjasama Operasi Op Covid-19 antara PPM dan Maritim Malaysia cawangan Sabah, di sini hari ini.

Beliau berkata, pematuhan masyarakat maritin di Sabah patut dipuji kerana patuh kepada arahan PKP. Namun, mungkin terdapat sebilangan kecil satu atau dua orang sahaja yang degil

Pajeri berkata, kerjasama PPM dan Maritim Malaysia ini sudah dimulakan sebelum PKP dan dengan kerjasama ini, beliau yakin perairan Sabah lebih terkawal dan penguatkuasaan lebih mantap.

Mengulas tentang bot kumpit asing yang berada di Sabah, beliau berkata, terdapat sembilan lagi bot kumpit asing yang masih berada di Sabah.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan arahan untuk membenarkan mereka ini berada di Sahah sehingga 5 April. Maka, selesai sahaja kerja memuatkan barangan seperti beras, mee dan minyak masak ke bot-bot kumpit berkenaan, mereka perlu balik semula ke Filipina,” ujarnya.

Menurutnya, selepas itu, bot-bot kumpit asing dari Filipina mahupun Indonesia tidak lagi dibenarkan masuk ke Sabah sepanjang PKP ini.

Untuk itu, PPM bersana Maritim Malaysia Sabah akan mengawal semua pintu masuk di sempadan perairan Sabah seperti di Kudat, Sandakan dan Tawau bagi memastikan tiada bot kumpit asing yang cuba masuk ke Sabah.