Sebanyak 30 Peratus Pemanggil Befrienders Cenderung Bunuh Diri

JESSIE TING

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sebanyak 30 peratus daripada 1,375 panggilan telefon yang diterima Befrienders Kota Kinabalu mempunyai kecenderungan membunuh diri dan putus harapan untuk hidup.

Panggilan itu diterima sepanjang Mac hingga Oktober ini.

Pengarah Publisiti Befrienders Kota Kinabalu, Jessie Ting berkata, tidak dinafikan pandemik Covid-19 menyebabkan berlaku ketidaktentuan dalam kehidupan sehingga mendatangkan tekanan untuk membunuh diri.

Beliau berkata, pemanggil ke talian Befrienders sejak Mac hingga November terdiri daripada individu yang kehilangan sumber pendapatan, hilang kerja, berdepan masalah kewangan, keluarga berpecah, kesukaran menyambung pelajaran, merasa terasing disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, kesunyian, ketiadaan sokongan sosial serta individu yang mengalami kesihatan mental dan kemurungan yang teruk.

Berikutan kejadian membunuh diri baru-baru ini, Befrienders mengajak masyarakat untuk mengetahui dan menyedari tanda amaran bagi individu yang mempunyai keinginan membunuh diri, tingkah laku dan sesiapa sahaja yang mempunyai risiko bagi mengelakkan kehilangan nyawa.

Beliau berkata, membunuh diri boleh dielakkan dengan mengetahui tanda amaran dan memandang serius tanda-tanda sebegitu.

Antara tanda amaran itu adalah merasa berputus asa, tidak berdaya, kemurungan berpanjangan, hilang minat terhadap perkara yang diambil berat orang lain, perubahan mendadak dalam tingkah laku, mencari cara membunuh diri, bercakap tentang hidup tiada makna, mengasingkan diri, menguruskan barangan peribadi, pengambilan alkohol dan dadah secara berlebihan dan menyimpan barangan untuk membunuh diri seperti ubat-ubatan, arang, tali dan racun serangga.

Dengan itu, Befrienders ingin mengajak setiap individu dalam masyarakat untuk memerhatikan petanda amaran dan sentiasa berkomunikasi dengan keluarga ketika masa yang mencabar ini.

“Bila kejadian bunuh diri berlaku, ia disebabkan semua sistem sokongan gagal atau individu yang membunuh diri tidak mendapatkan bantuan dan tidak tahu bahawa bantuan sentiasa ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Jessie berkata, dalam kejadian membunuh diri, tiada faktor tunggal yang menyebabkan seseorang cuba atau mati akibat membunuh diri.

Katanya, apabila seseorang menamatkan hidup mereka, ia akan memberi kesan kepada keluarga, rakan serta masyarakat.

Menurutnya, biarpun membunuh diri diharamkan di Malaysia tetapi, masih ada orang yang mati akibat membunuh diri.

Semalam, seorang lelaki berusia 20an ditemukan mengantung diri menggunakan tali kain di paip berhampiran Balai Polis Karamunsing.

Sebelum ini, dua kejadian terjun bangunan hospital turut dilaporkan. Kejadian pertama berlaku pada 21 Oktober lalu dimana, seorang wanita ditemukan terjun dari Tingkat 8, Hospital Queen Elizabeth.

Kemudian pada 14 November lalu, seorang lelaki berusia 62 tahun terselamat setelah terjun dari tingkat 6, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas.