
Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sebanyak 20 daripada 900 premis yang diperiksa di seluruh Sabah telah diarahkan untuk tutup kerana gagal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, 20 premis itu yang beroperasi di Sandakan itu diarahkan tutup mengikut Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.
“Premis yang terlibat adalah lapan restoran, tiga bengkel, enam kedai runcit, tiga kedai serbaneka serta enam buah mesin jual air,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Pemeriksaan premis di seluruh Sabah dilakukan melalui Operasi Bersepadu PKP oleh Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dengan kekuatan anggota seramai 209 orang.
“Bekalan ubat susulan akan dihantar terus ke lokasi pilihan pesakit melalui pos dengan caj kiriman yang telah ditetapkan.
“Caj kiriman tersebut ditanggung oleh pelanggan sendiri. Pelanggan perlu memastikan alamat penghantaran adalah dalam lingkungan kawasan pungutan dan serahan Pos Laju,” jelasnya.
Menurutnya, ubat yang boleh dihantar melalui pos adalah ubat dos tablet/kapsul dan bukan jenis ubat psikotropik dan bukan jenis ubat yang memerlukan penyimpanan khusus contohnya peti sejuk.
“Cara-cara membuat pesanan ubat melalui pos adalah seperti berikut: pelanggan perlu mengambil gambar preskribsi muka depan & belakang.
“Hantar gambar tersebut berserta maklumat nama, nombor Kad Pengenalan, nombor telefon dan alamat ke nombor telefon hospital atau klinik penghantar.
“Ubat dijangka akan diterima dalam masa seminggu selepas pengesahan pesanan dibuat oleh pihak farmasi,” ujarnya.
Christina juga meminta orang awam memberi kerjasama yang padu dengan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.
Disamping itu, orang awam juga perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia seperti menghadkan perjalanan, melakukan jarak sosial, menggunakan topeng penutup hidung dan mulut serta hand hygiene agar dapat memutuskan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat.