Sebanyak 1,308 Unit Rumah PPR Bakal Diserah Kepada Pemohon

491
Aliuddin (empat kanan) bertukar dokumen penyerahan bersama Masnah (empat kiri), sambil disaksikan oleh Jaujan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pemohon rumah dibawah Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi Projek PPR Merotai, PPR Kota Marudu dan PPR Gayang I dijangka akan mula memasuki rumah masing-masing dalam tempoh sebulan ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong berkata, pemohon bagi ketiga-tiga projek PPR itu boleh memasuki rumah masing-masing setelah proses tapisan senarai pemohon yang layak selesai.

“Dalam masa sebulan mereka sudah boleh mula masuk. Kita akan menapis senarai mengikut syarat-syarat dan peraturan yang ada. Dianggarkan 7,000 permohonan akan diterima bagi ketiga-tiga PPR yang sudah siap sepenuhnya ini.

“PPR Merotai mempunyai sebanyak 470 unit, PPR Kota Marudu sebanyak 418 unit dan PPR Gayang I sebanyak 418 unit.Jumlah keseluruhan adalah sebanyak 1,308 unit,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Penyerahan PPR Merotai, Tawau; PPR Kota Marudu; dan PPR Gayang I, Tuaran daripada Jabatan Perumahan Negara dibawah Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan Persekutuan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan & Perumahan Sabah, di sini pada Rabu.

Jaujan berkata, bagi tempoh 2001-2019 terdapat sebanyak 37 projek PPR yang dibina di Sabah dengan melibatkan 25,449 unit.

Daripada jumlah itu, 30 projek sudah siap dan tujuh masih dalam proses pembinaan. Manakala, tiga projek lagi masih dalam perancangan dan proses mengenalpasti tapak yang bersesuaian sedang dilakukan.

Mengenai perancangan untuk membenarkan pemilik rumah PPR menyewa untuk beli (Rent To Own-RTO), Jaujan berkata, perkara itu masih diperhalusi oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Sabah sudah mengemukakan cadangan melaksana Skim ROT ini dan kita yakin ia dalam proses untuk dibawa ke Kabinet Persekutuan untuk mendapatkan kelulusan Kabinet. “Kita yakin Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mendengar denyutan hati rakyat dan diterjemah di Sabah.

Buat masa ini, pemilik rumah masih menggunakan konsep menyewa sepanjang hayat.

“Diharap Skim RTO ini dapat dilaksana seluruh Sabah. Ketua Menteri juga memohon cadangan Kerajaan Negeri itu dipertimbangkan oleh Perdana Menteri. Cadangan itu telah dikemukakan kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan Rina Harun untuk dipertimbangkan,” jelasnya.

Majlis penyerahan itu disempurkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan Dr Aliuddin Sidal dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan & Perumahan Sabah Masnah Matsalleh.