Sebanyak 1,300 Anak Pokok Ditanam Di Kawasan Perlindungan Tanah Lembap Sulaman

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Mohd Jaini dan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia diiringi oleh Renjer kehormat.

TUARAN: Sebanyak 1,300 batang anak pokok bakau ditanam di Kawasan Perlindungan Tanah Lembap Sulaman, di sini di bawah program penanaman pokok bakau dan spesies-spesies sesuai di pesisiran pantai negara, semalam.

Menurut kenyataan Jabatan Perhutanan Sabah hari ini, ia merupakan satu program di bawah Jawatankuasa Teknikal Perancangan dan Pelaksanaan membabitkan tiga wilayah iaitu Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hutan Sarawak dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Ia bermatlamat untuk memperkenalkan kepentingan hutan bakau kepada masyarakat setempat sebagai pelindung daripada ombak serta menghalang hakisan pasir, kata kenyataan itu.

Dari kiri, Encik Roslan Junaidi (Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Hutan)JPS, Datuk Mashor Mohd Jaini (Ketua Konservator Hutan), Dato’ Mohd Ridza B. Awang (Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia), Dato Dr Hizamri (Pengarah Perhutanan Negeri Pahang), Dato’ Haji Jeffri (Pengarah Perhutanan Negeri Johor) dan Encik Saleh Intang (Pegawai Perhutanan Daerah Kota Belud).

Menurut kenyataan itu program pemuliharaan ini melibatkan penanaman anak pokok bakau daripada lima spesis bakau itu merupakan rekod terbanyak bagi satu sesi penanaman tahun ini bagi kawasan di bawah Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) Borneo Sulaman Cove.

Turut hadir pada program itu adalah Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Mashor Mohd Jaini dan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Datuk Mohd Ridza A. Awang.

Program ini turut dihadiri 23 pelajar Sekolah Rendah Termunong, Tuaran untuk pembelajaran dan penjagaan alam sekitar.

Datuk Mashor Mohd Jaini (Ketua Konservator Hutan dan Dato’ Mohd Ridza B. Awang (Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia) bersama Ahli Jawatankuasa JTPP serta pelajar-pelajar sekolah SK Termunong dan ahli PIBG Sekolah.

Hutan Bakau Tasik Sulaman berkeluasan 488 hektar diwartakan sebagai Hutan Simpan Bakau kelas V yang diurus tadbir oleh Jabatan Perhutanan Sabah.

Pada 2007, hak pengurusan sebahagian daripada hutan simpan telah diberikan kepada Borneo Sulaman Cove Sdn Bhd sebagai Unit Pengurusan Hutan (FMU) untuk tempoh 50 tahun di bawah SFMLA.