SPDA Bantu Tingkat Kesedaran Kebersihan Di Semporna

623
Abdul Razak (tiga kanan) bergambar bersama Ketua Polis IPD Semporna Superitendan Peter AK Umbuas (empat kanan) ketika pelancaran Unit Polis Pelancong

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SEMPORNA: Menyahut seruan untuk menjadikan Pekan Semporna bebas sampah, satu program gotong-royong membersihkan kawasan darat dan laut sekitar Pekan Semporna diadakan pada Jumaat.

Presiden Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA) Abdul Razak Ismail berkata, program sebegini diharap dapat meningkatkan kesedaran orang awam agar tidak membuang sampah dimerata-rata tempat.

”Sebagai salah sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mengambil bahagian dalam kerja-kerja pembersihan dasar laut di kawasan Jeti Umum Semporna, kami berharap orang ramai tidak akan membuang sampah di kawasan laut berhampiran jeti ini.

Antara penyelam yang melakukan pembersihan di dasar laut semasa gotong-royong berkenaan

”Daripada gotong-royong pembersihan dasar laut yang dilakukan, kami dapati botol minuman plastik antara yang paling banyak ditemui di kawasan dasar laut Jeti Umum ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.

Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai Joe berkata, jika setiap orang memainkan peranan membuang sampah di tong yang disediakan maka, tiada lagi kerja-kerja pembersihan sampah di dasar laut yang perlu dilakukan.

Katanya, agak memalukan jika dasar laut di Semporna ini dipenuhi sampah walhal, daerah ini mempunyai tapak selaman antara yang terbaik di dunia (Pulau Sipadan).

Gelen air antara bahan buangan yang turut dikutip di sekitar Jeti Umum Semporna

Maka, keindahan Sipadan itu perlu diselaraskan dengan kebersihan pekan yang menjadi laluan utama untuk menuju ke pulau-pulau di sekitar Semporna.

Program gotong royong berkenaan diadakan sempena pelancaran Unit Polis Pelancong Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Program itu diadakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Semporna, Majlis Daerah, Taman-Taman Sabah, Tentera, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin, Pejabat Perikanan, Persatuan Nelayan, Persatuan Pelancongan dan badan-badan NGO lain.

Ahli-ahli SPDA menunjukkan sampah yang berjaya dikutip sekitar Jeti Umum Semporna ketika gotong-royong berkenaan

Unit Polis Pelancong itu ditubuhkan bagi memudahkan perlindungan dan nasihat keselamatan diberikan kepada pelancong yang semakin ramai di daerah itu.

Pada 11 November 2018, ketika melancarkan Program ‘Sabah Bebas Sampah: Semporna Bersih dan Indah’, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal menyatakan beliau tidak mahu Semporna dikenali sebagai daerah yang kotor.

Mohd Shafie mahu tahap kebersihan di Semporna dipertingkatkan dan dijadikan sebagai Indeks Pencapaian Utama (KPI) Majlis Daerah Semporna dengna dipantau rapat oleh Pegawai Daerah Semporna Bianus Kontong.

Seiring dengan langkah itu, berkuatkuasa 1 Januari, kutu sampah yang ditangkap kerana membuang sampah telah memilih untuk melakukan kerja-kerja komuniti dengan membersihkan sampah sambil memakai vest tertulis perkataaan ‘MONYET’.

Mana-mana kutu sampah yang didapati membuang sampah dan enggan membayar kompaun, mereka dikehendaki membersihkan sampah di sekitar pekan selama sejam sambil memakai vest berkenaan.

Vest itu kemudian diubahsuai dengan meletakkan gambar monyet dan tertulis perkataan ‘kerja amal mengutip sampah’.