SCENIC, Women in Tech Memperkasa Wanita Menerusi Teknologi & Inovasi

KOTA KINABALU: Satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani baru-baru ini bagi memperkasa golongan wanita dan masyarakat terpinggir menerusi teknologi dan inovasi kemahiran semula, peningkatan kemahiran dan kemahiran silang.

MoU yang ditandatangani itu antara Pusat Kreatif Ekonomi dan Inovasi Sabah (SCENIC) dan Women in Tech®️ (WIT) itu membolehkan golongan berkenaan melakar kejayaan dalam perniagaan yang kemudiannya menyumbang kepada kelestarian dan putaran ekonomi yang membawa impak lebih besar.

SCENIC adalah satu inisiatif kerajaan negeri Sabah di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi negeri yang diwujudkan bagi memacu industri di Sabah menerusi teknologi, inovasi dan kreativiti, selain berkolaborasi dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem.

Sementara itu, WIT yang beribu-pejabat di Paris adalah sebuah pertubuhan antarabangsa yang tidak berasaskan keuntungan dengan misi untuk merapatkan jurang antara jantina dan membantu wanita menguasai teknologi.

Ia memberi tumpuan kepada empat bidang utama yang memerlukan tindakan iaitu Pendidikan, Perniagaan, Keterangkuman Digital dan Advokasi.

Pengurus Besar SCENIC, Viviantie Sarjuni berkata pusat berkenaan akan mengenal pasti peluang untuk semua pihak berkolaborasi dan bekerjasama dalam program ‘flagships’, pelaburan, inisiatif pemindahan kemahiran atau teknologi untuk pemula, MSMEs, penginovasi dan pihak berkepentingan yang lain.

“Pusat ini juga akan berkongsi idea dan maklumat ke arah pembangunan ekosistem kedua-dua pihak.

“Kita juga akan menghubungkan WIT dengan rakan perniagaan SCENIC atau ahli korporat untuk peluang pembangunan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Negara Pergerakan Global WIT Malaysia, Yuki Aizawa berkata, mereka berbangga mengumumkan MoU pertama dengan entiti sains dan inovasi di bawah kerajaan negeri Sabah.

Sebelum ini, ia bermula dengan kerjasama institusi di bawah kerajaan persekutuan seperti Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Kita mewujudkan impak melalui tindakan untuk membina kemahiran dan keyakinan, menetapkan wanita untuk kejayaan melalui program kami, bimbingan, perjumpaan sosial ahli, bengkel dan acara melalui kolaborasi dengan SCENIC dan komuniti.

“Sejurus selepas menandatangani MoU, kita akan mengadakan program seperti bengkel dalam talian atau luar talian dan bimbingan (mentorship).

“WIT juga menaja 100 wanita untuk menyertai kursus persijilan yang mana pengambilannya akan bermula pada akhir Ogos depan.

“Kita juga akan mengadakan sidang kemuncak di Sabah dan Kuala Lumpur,” katanya sambil menambah aktiviti komuniti juga akan dilaksanakan.