Saya Utamakan Nilai Kehidupan Bukan Bangunan Pencakar Langit – Shafie

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
TAMPARULI: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sistem pentadbiran yang diamalkannya sepanjang dua tahun memerintah bukanlah sekadar pembinaan bangunan-bangunan pencakar langit.

Sebaliknya tegas Ketua Menteri, beliau membina nilai-nilai dalam diri masyarakat dan pemimpin kerana hanya dengan amalan yang baik itu barulah kerajaan yang ada dapat menyediakan satu masa depan yang baik kepada generasi akan datang.

Katanya, sebab itulah sepanjang pemerintahannya, beliau tidak berkompromi dengan amalan integriti yang baik agar kualiti perkhidmatan kepada rakyat dapat ditingkatkan.

“Saya tidak bina hotel, itu bukan milik saya saya tidak bina bangunan tinggi tetapi saya membina nilai-nilai yang baik dalam kalangan Sabahan.

“Itu tidak nampak, dalam jiwa kita bina nilai-nilai kehidupan, perkara yang sebenarnya jelas dalam hidup itu sangat penting, kalau kita bina bangunan tinggi-tinggi pencakar langit tetapi akhirnya kita bertelingkah bergaduh berperang apa maksud itu untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pecah Tanah Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Advent Tamparuli hari ini.

Mohd. Shafie berkata, salah satu perkara yang menjadi asas kepada pentadbirannya ialah diversiti dalam kepimpinan kerana hanya dengan menghargai kepelbagaian kaum yang ada barulah perpaduan di negeri ini dapat dikekalkan.

“Saya letak Setiausaha Tetap Kewangan orang Dusun dari Ranau, saya letak Pengarah Tanah dan Ukur orang Cina, saya bukan nilaikan sebab kaum dia, agama dia tetapi saya menilai perkhidmatan mereka sebab jika mereka boleh buat kerja yang baik, Sabah akan jadi negeri yang sejahtera.

“Berapa banyak Ketua Menteri yang memandang tinggi Kristian saya umum Krismas sebagai cuti umum di Sabah, tidak pernah bukan PBS, tiada kerajaan lain buat tetapi di bawah kerajaan Warisan kita umumkan Krismas sebagai cuti umum,” katanya.

Mohd. Shafie berkata, bagi segelintir pemimpin politik, mereka masih memainkan persoalan apa yang dilakukan Warisan selama memerintah, namun hakikatnya pemerintahan kerajaan terdahulu lebih teruk.

Sebagai contoh katanya, lebih 570 sekolah daif wujud di negeri ini disebabkan pemimpin terdahulu tidak mempunyai nilai-nilai yang cukup untuk memperjuangkan hak rakyat.

“Sekolah-sekolah kita 570 yang daif, saya pergi Long Pasia tandas sekolah pun tiada, budak mahu buang najis mahu kencing lari pergi atas bukit, bayangkan kasihan budak-budak ini.

“Bilik guru pun tidak ada saya beritahu dengan guru besar bina, sudah siap kemudahan dia bilik guru dan tandas budak-budak sekolah, saya pergi Tongod hostel pun tidak cukup.

“Inilah yang kita lakukan dan banyak lagi untuk kepentingan rakyat di negeri Sabah,” kata beliau.