‘Saya Tidak Takut Bayang-Bayang Musa Aman’ – Presiden Warisan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PAPAR: ‘Sejak bila saya takut bayang-bayang dia. Saya tidak takut dengan bayang siapa-siapa pun’.

Itu jawapan ringkas Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Tan Sri Musa Aman yang mengatakan beliau seolah-olah takut dengan bayang-bayangnya.

“Kita tidak takut dengan bayang siapa-siapa pun. Kita akan hadapi mereka dalam pilihan raya ini kerana ini yang penting kepada kita.

“Jangan berlindung di belakang tabir kerana mahu merebut kuasa, ambil kuasa dengan menggunakan kewangan, gunakan harta benda semata-mata, kita lawan (BN),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Bersama Rakyat Pantai Manis dan Limbahau, di sini hari ini.

Musa dipetik berkata, Shafie seolah-olah takut dengan bayang-bayangnya hingga terus-terusan memfitnah, menghina dan mengaibkannya.

Katanya, Shafie tidak perlu risau kerana dia (Musa) bukannya calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Kemudian mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi yang menegaskan mandat rakyat Sabah adalah untuk Barisan Nasional (BN) dalam PRU lalu, Mohd Shafie berkata, Parti Warisan Sabah (Warisan) sudah tumbangkan BN dalam PRU lalu, bagaimana mandat ada pada BN.

”Sudah berpuluh tahun mandat diberikan kepada BN, jambatan Papar hingga sekarang masih begitu, ada lagi sekolah yang perlu bantuan,  ada kawasan yang tiada kemudahan asas sejak berpuluh tahun mereka perintah Sabah.

“Tidakkan ini Pemuda (BN) tidak nampak. Cuba pergi Putrajaya,  Kuala Lumpur, kemudahan apa yang ada di Kuala Lumpur berbanding Sabah.

”Kita merdeka, sebuah negeri yang kaya tapi rakyat miskin,” ujarnya.

Dr Asyraf dipetik berkata, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, mandat rakyat adalah untuk BN tapi bertukar kepada Warisan kerana wujud pengkhianatan.

Tambahnya, BN Sabah tidak kalah dalam PRU-14 tapi kerana khianat maka, kerajaan negeri pimpinan BN ketika itu tumbang.