Saya Sudah Usahakan Yang Terbaik Untuk Kadamaian

Ewon menunjukkan Laporan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang kini menjadi dokumen kerajaan negeri.

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA BELUD: Menteri caretaker Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata beliau sudah berusaha sebaiknya untuk membantu pembangunan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.

Beliau berkata, usaha tersebut termasuk memperkasakan urustadbir adat dan tanah serta pembangunan keagamaan di Kadamaian.

“Dalam tempoh dua tahun ini, saya sudah usahakan yang terbaik. Ini bermula dengan pembangunan pusat-pusat ekonomi Kadamaian terutama pekan kecil Taginambur yang selama ini kurang mendapat perhatian pembangunan. 

“Seterusnya kita memperkasakan urustabdir adat khususnya di kalangan masyarakat Kadazandusun di mana Ketua Daerah yang mewakili suku kaum ini haruslah di kalangan bukan Islam. Manakala, kita turut mempertahankan perlantikan Ketua Daerah bagi suku kaum Bajau dan Iranun walaupun ada cadangan melantik hanya seorang Ketua Daerah bagi setiap daerah.

“Bermula pada awal tahun ini, saya telah memberi penghormatan kepada Majlis Gereja-Gereja Kadamaian bagi melaksanakan program Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian sebanyak RM100,000 dan sememangnya menjadikan pendekatan ini setiap tahun sebagai Adun. Manakala dalam aspek pembangunan fizikal, kita membantu agar peruntukan Bantuan Khas Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam yang dinaikkan peruntukan oleh Kerajaan Negeri turut dirasai oleh rumah-rumah ibadat di Kadamaian,” katanya.

Ewon menyatakan demikian dalam perjumpaan beliau dengan Ketua-Ketua Adat dan Pengerusi-Pengerusi MPKK di DUN Kadamaian baru-baru ini.

Ewon yang merupakan ADUN Kadamaian sejak Mei 2018 berkata, rancangan pembangunan Kadamaian telah didokumentasikan dengan cukup baik melalui penyelidikan yang dibuat oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah.

“Laporan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 kini menjadi dokumen Kerajaan Negeri yang telah dilancarkan oleh YAB Ketua Menteri Sabah pada Januari 2020 dan merupakan input rakyat Kadamaian bagi perancangan dan pelaksanaan rancangan pembangunan setiap lima tahun di peringkat Persekutuan dan Negeri. Malah beberapa inisiatif yang telah diperakukan untuk dilaksanakan di bawah belanjawan Rancangan Pembangunan Sabah, 2021-2025 di KPLB Sabah juga mengambil input dalam pelan ini,” katanya.

Ewon menambah, kajian pelan induk pembangunan Kadamaian tersebut mengambil masa selama enam bulan dengan kerjasama IDS, UPPM Kadamaian dan semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di 74 buah kampung dalam DUN Kadamaian melibatkan peruntukan kajian sebanyak RM70,000 daripada peruntukan khas ADUN.

“Selaku Ahli Jemaah Menteri juga, saya turut mengangkat beberapa isu tanah yang belum diselesaikan di peringkat daerah ke mesyuarat Jemaah Menteri. Antaranya ialah permohonan penduduk untuk menukar status warta Tanah Simpanan Kayu Api (Fire Wood Reseve) kepada Tanah Simpanan Kampung.

“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang terakhir sebelum DUN dibubarkan, saya telah mengangkat isu berkenaan pewartaan Hutan Simpan Wariu pada tahun 2015 yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu agar ianya dibubarkan dalam sidang DUN akan datang supaya dapat dikembalikan kepada penduduk di Mukim Melangkap dan kampung-kampung sekitar,” katanya.

Beliau menambah, nilai pembangunan projek berskala kecil dan sederhana yang telah dibawa masuk ke DUN Kadamaian dalam tempoh 2 tahun melebihi 12 juta dan hasilnya boleh dilihat di peringkat kampung.

“Jika bukan kerana pertukaran di peringkat Kerajaan Persekutuan dan pembubaran DUN Sabah, saya amat percaya kita boleh melihat projek-projek berskala besar yang dilaksanakan selepas Kajian Separuh Penggal RMK-11 dan seterusnya dalam RMK-12.  

“Ahli Parlimen Kota Belud, YB Isnaraissah Munirah dan saya sentiasa bekerjasama memastikan isu-isu keperluan pembangunan di DUN Kadamaian diurus dengan cukup baik bermula dengan pelaksanaan kajian Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang mana sebahagian dapat awal telah dikemukakan dalam Kajian Separuh Penggal RMK-11 dan menjadi input utama RMK-12 dan rancangan pembangunan lima tahun yang seterusnya.

“Saya percaya inilah kali pertama keperluan pembangunan di DUN Kadamaian telah dibuat dengan cukup baik,” katanya.

Ewon berkata, keputusan pembubaran DUN Sabah oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah bertujuan untuk mengembalikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih Wakil Rakyat di kawasan masing-masing.

“Saya amat yakin boleh meningkatkan prestasi pembangunan di DUN Kadamaian jika penggal ini genap lima tahun. Wakil-Wakil Rakyat di DUN Kadamaian selama ini ada yang mempunyai lima tahun, dan ada yang mempunyai 15 tahun perkhidmatan mereka bagi membuktikan keupayaan mereka.

“Tetapi oleh kerana DUN telah dibubarkan lebih awal, mandat dan amanah yang telah diberikan kepada saya selama dua tahun ini telah saya laksanakan dengan sebaik-sebaiknya.

“Kini, rakyat Kadamaian akan memilih semula Wakil Rakyat untuk penggal seterusnya. Jika rakyat masih mahu saya menjayakan apa yang telah dimulakan dalam tempoh dua tahun ini, saya sentiasa bersedia mengangkat mandat dan amanah baharu tersebut,” katanya.

Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah, Ketua Daerah OKK Jaintin Molondoi dan Ketua PKR Kadamaian Lukiah Indan.