Saya Rayu Kepada Dr Mahathir Untuk Kekal Sebagai Perdana Menteri – Anwar

PETALING JAYA: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa beliau merayu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kekal sebagai Perdana Menteri dalam perjumpaan dengannya awal hari ini.

Anwar berkata beliau telah dimaklumkan mengenai keputusan Dr Mahathir untuk meletak jawatan dalam perjumpaan itu.

“Saya ada bersama dengan dia, dan telah dimaklumkan mengenainya, tetapi saya tidak boleh (umumkan) sehingga ia dimaklumkan kepada orang ramai. Saya merayu kepadanya bagi pihak Keadilan (PKR), Pakatan (Harapan),” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR di sini selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini mengumumkan bahawa Dr Mahathir telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Dr Mahathir bin Mohamad telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-tujuh hari ini. Surat itu telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada pukul 1.00 tengah hari,” menurut kenyataan itu.

Semasa ditanya hasil perjumpaan dengan Yang di-Pertuan Agong, Anwar berkata ia hanya perjumpaan bagi menyampaikan pendapatnya dan saling bertukar pandangan.

“ … dan bagi mendapatkan nasihat demi kepentingan negara, keamanan, kestabilan, perbincangan secara umum,” katanya.

Dr Mahathir juga hari ini meletak jawatan sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang terdahulu menarik diri dari gabungan Pakatan Harapan (PH).

Peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan juga Pengerusi Bersatu mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini beliau berkali-kali mangatakan bahawa beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga selesai Malaysia menjadi tuan rumah kepada mesyuarat APEC November ini.

Isu perubahan politik kembali menarik perhatian ramai, sejak mesyuarat Majlis Presiden PH Jumaat lepas dilaporkan hangat membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan janji-janji berhubung peralihan kuasa Perdana Menteri.

Semalam ada parti-parti politik yang berpecah akibat perbezaan pandangan, yang membawa kepada perjumpaan berasingan, susulan muncul spekulasi mengenai kemungkinan pembentukan kerajaan baharu dengan kewujudan gabungan parti politik berbeza daripada yang sedia ada.

Sementara itu Anwar berkata dalam perbincangannya, Dr Mahathir menjelaskan bahawa beliau tidak terlibat dengan mesyuarat semalam.

Anwar juga berkata sebarang perubahan dalam kerajaan Pakatan Harapan perlu dibuat selepas Dr Mahathir berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong malam ini.

Semasa ditanya sama ada beliau akan menjadi Perdana Menteri ke lapan, yang sedang menanti giliran, beliau menjawab: “Kita tengoklah nanti”