Saya Ketua Menteri Sabah Sah, Kata Shafie; Musa Perlu Letak Jawatan

1544

KOTA KINABALU: Bagi Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal, beliau adalah ketua menteri Sabah yang sah.

Shafie mengangkat sumpah kira-kira jam 9.15 Sabtu malam.

Selesai mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin Sabtu malam, Shafie menyangkal Sabah kini berdepan situasi memiliki dua ketua menteri, walaupun Pengerusi BN Negeri Musa Aman bertegas beliau masih belum meletakkan jawatan sebagai ketua menteri.

“Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri telah memintanya letak jawatan, selepas itu (jika) dia tak letak jawatan, TYT boleh panggil sesiapa yang boleh (memanggil sidang DUN),” Malaysiakini melaporkan.

SHAFIE APDAL

“Berapa bilangan kerusi (yang dimiliki Musa) tidak lagi penting,” kata Shafie pada sidang media di rumahnya selepas mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Shafie juga menafikan keadaan ketika ini membayangkan krisis perlembagaan.

“Jika seorang itu boleh terima dia tiada majoriti, maka tiada krisis perlembagaan.

“Tafsiran undang-undang agak jelas. Anda perlu letak jawatan.”

Beliau berkata Musa bebas untuk mengambil tindakan undang-undang jika mahu berbuat demikian.

“Kita tak boleh halang dia beliau ambil tindakan undang-undang, tetapi sudah ada duluan di Perak (apabila menteri besar kedua diputuskan sah),” katanya.

Malaysiakini juga melaporkan Musa menafikan beliau meletakkan jawatan.

Dia juga berkata tiada anggota kabinet negeri yang dilantik yang telah meletakkan jawatan.

Lewat petang tadi, beliau ditemani isterinya Shuryani Shuaib meninggalkan kediaman di Kota Kinabalu, lengkap berbaju Melayu hitam dan bersongkok.

Beliau bertolak dengan iringan laungan “hidup Datuk” dan “hidup Warisan” oleh penyokong yang memenuhi kediamannya.

Pada Rabu lalu, Warisan dan rakan kerjasamanya menang di 29 daripada 60 kerusi DUN – kurang dua kerusi untuk mendapat majoriti mudah.

Sementara itu, The Star memetik seorang pegawai polis yang bertugas di Seri Gaya – kediaman rasmi ketua menteri – yang berkata kakitangan Musa sedang “mengemas barang”.

Musa kemudian dilihat meninggalkan Seri Gaya dengan kenderaan rasminya bersama iringan.

Polis itu bagaimanapun dipetik berkata, Musa tidak pergi ke istana tetapi kemungkinan ke kediaman peribadinya.

Polis yang berkawal di Seri Gaya mengesahkan rumah tersebut sudah kosong pada jam 8.30 malam ini. – Malaysiakini/Star