‘Saya Hanya Mahu Menang Pilihan Raya Di Sabah’ – Shafie

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: ‘Saya hanya mahu fokus kepada pilihan raya. Hanya ada satu atau dua hari sahaja lagi. Saya di sini mahu menang pilihan raya di Sabah’.

Demikian respon Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal apabila ditanya mengenai pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan mempunyai majoriti mencukupi bagi membentuk kerajaan.

Mohd Shafie berkata, beliau tidak mahu memberi sebarang komen mengenai pengumuman tersebut kerana fokusnya ketika ini hanya mahu memastikan kemenagan Warisan Plus di Sabah.

“Biarkan saya fokus. Kita mahu sokongan diberikan kepada kerajaan Warisan di Sabah,” katanya.

Semalam, Presiden PKR itu mengumumkan beliau memiliki sokongan majoriti anggota parlimen bagi membentuk kerajaan baru.

Anwar dipetik berkata, beliau mendapat sokongan yang kukuh dan menyakinkan daripada ahli parlimen.

“Saya merancang menghadap Tuanku (Yang Dipertuan Agong) pada 11 pagi Selasa namun, terpaksa ditangguhkan selepas baginda dimasukkan ke IJN dan kita doakan baginda sihat walafiat,” ujarnya.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu kenyataan memaklumkan beliau masih lagi Perdana Menteri selagi Anwar tidak membuktikan mendapat majoriti yang mencukupi.

“Dakwaan ini hendaklah dibuktikan menurus proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan. Tanpa melalui proses tersebut, kenyataan Anwar hanyalah dakwaan semata-mata,” jelasnya.