‘Saya Bukan Kroni Mana-Mana Pemimpin’ – Shafie

KOTA KINABALU: Pengalaman dalam politik dan penyertaan dalam gabungan politik sebelum ini memberi keyakinan kepada Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal untuk mengukuhken kedudukan Parti Warisan (Warisan) di negara ini.

Walaupun ada pihak mendakwa beliau kroni pemimpin tertentu namun, beliau kekal dengan pendirian ingin mengubah negara ini kepada satu tahap yang lebih baik.

“Saya bukan kroni mana-mana pemimpin, orang cakap saya kroni Tun Mahathir tapi, jika dilihat saya masih menyokong Anwar Ibrahim semasa dia menentang Abdul Ghafar Baba. Saya juga menyokong Najib Razak semasa saya Ketua Pemuda UMNO.

“Namun, semasa saya menyokong Tun Mahathir sebelum ini, hasrat kita ingin meletakkan negara kita ke landasan yang lebih baik kerana situasi pada masa itu memerlukan kita bertindak sebegitu,” katanya.

Ahli Parlimen Semporna berkata, khabar angin Warisan akan bekerjasama dengan UMNO hanya sekadar satu khabar angin.

Pendirian Warisan cukup jelas ingin membawa perubahan di negara ini jadi, Warisan akan melihat nilai-nilai yang ada sebelum bertindak membentuk gabungan dengan mana-mana parti.

Katanya, sebelum ini beliau sudah menjadi ahli UMNO dan bergabung dalam Barisan Nasional (BN) dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Adakah salah bila saya mahu lihat perjalanan politik negara pada hari ini berada pada landasan yang betul. Kita perlu ubah keadaan hari ini menerusi pengalaman lampau dan bukan mendengar khabar angin.

“Saya sudah merasai pengalaman dalam politik maka, saya melihat perubahan perlu dilakukan demi masa depan negara ini,” ujarnya.