Saya Berusaha Majukan Ekonomi Tetapi Macai Musa Kecewa Hilang Projek

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KUDAT: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan kejatuhan ekonomi yang melanda bukan hanya di Sabah tetapi turut melanda seluruh dunia termasuklah di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri berkata, meskipun pandemik Covid-19 antara faktor utama, namun beliau tidak pernah mengalah malah banyak perancangan di peringkat Kerajaan Sabah telah dibuat untuk merancakkan semula ekonomi negeri.

Tegas beliau, Kerajaan Sabah sedang bekerja keras untuk membangunkan semua pelbagai sektor industri di Sabah bagi mencipta peluang pekerjaan seperti pembukaan kilang minyak, menaikkan semula sektor pelancongan serta bermacam-macam lagi.

“Kita ada rancangan untuk memulihkan sektor pelancongan contohnya, pelancongan domestik sudah mula kita nak pulihkan.

“Ini langkah-langkah yang kita lakukan tohmahan bahawa kegagalan kita banyak cabaran yang saya lalui untuk membangunkan negeri kita kerana kita tahu bahawa bukan semudah itu dalam jangka masa dua tahun kita baru perintah berapa bulan Covid-19 ini tetapi sekurang-kurang dalam dua tahun sudah mula kita buka kilang-kilang peluang pekerjaan anak-anak kita, kita akan buat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan geran tanah kepada rakyat di Dewan Tun Musthapa, Kudat hari ini.

Berucap dalam majlis itu, Mohd. Shafie berkata, rakyat menyedari kesukaran dan usaha yang dilakukan kerajaan dalam menempuh cabaran ekonomi semasa.

Bagaimanapun katanya, pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap Warisan sebenarnya berpunca daripada kekecewaan ‘macai’ Tan Sri Musa Aman yang kini tidak lagi berupaya mendapatkan projek kerajaan.

Menurut Mohd. Shafie, beliau telah mengambil keputusan menghentikan pemberian projek kepada macai-macai berkenaan kerana mereka hanya mengejar kekayaan peribadi bukannya kepentingan rakyat.

“Yang merudum ekonomi ini bukan pasal apa, ada kegiatan ekonomi cuma masalah dia macai-macai dia tiada bisnes sudah, itu yang merudum tiada kerja dulu banyak kerja musim dia Ketua Menteri.

“Sekarang saya hentikan semua saya tidak bagi mereka kerja kerana kerja itu bukan untuk rakyat negeri Sabah, untuk macai-macai dia sahaja, bukan kerja kita,’ katanya.