Saya Akan Tunjuk Dokumen BN Mulakan Cadangan PSS

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KIMANIS: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau akan menunjukkan dokumen bagi membuktikan cadangan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) bermula pada zaman Barisan Nasional (BN).

“Nanti saya akan tunjukkan dokumen dia, Pengerusi dia Tan Sri Joseph Pairin Kitingan,” katanya kepada media malam ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini yang menafikan BN pernah mengemukakan cadangan itu.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman telah menyatakan BN telah mengemukakan cadangan untuk mengeluarkan Pas Residen Sementara Sabah (Press) bagi mengatasi masalah warga asing di negeri ini.

Beliau berkata, Press akan dikeluarkan bagi menggantikan IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang dipegang oleh warga asing di Sabah.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak terlaksana selepas BN tewas dalam pilihan raya umum dan kerajaan hari ini mengambil keputusan meneruskannya kerana amat baik.