‘Saya Akan Jadi Pembangkang Yang Lantang Bersuara’ – Jin Zhe

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Mantan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe bersedia mengalas tanggungjawab sebagai seorang ahli pembangkang yang efektif, lantang bersuara dan progresif.

Itu paparan Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang yang berjaya mempertahankan kerusi tersebut setelah menang dengan majoriti besar, 14, 521 undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Beliau turut memberi jaminan kepada penduduk di kawasan DUN Luyang bahawa beliau akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat yang telah diberi mandat dalam PRN Sabah.

“Namun saya meminta maaf kerana kami (Warisan Plus) tidak dapat mempertahankan Sabah untuk anda semua.

“Biarpun Sabah Baharu berakhir dalam dua tahun. Walaupun amat kecewa, tetapi jika ini adalah pilihan yang dibuat oleh rakyat Sabah, saya menghormati keputusan ini,” katanya.

Menurutnya, dalam dua tahun yang lalu, rakan-rakan seperjuangan dari Warisan Plus telah berusaha sedaya upaya, bekerja keras siang dan malam, merealisasikan dasar baharu untuk rakyat Sabah.

Kini, walaupun beliau menang dengan majoriti besar di Luyang, tetapi tidak memperoleh kuasa pemerintahan kerajaan negeri.

“Saya masih ingat 10 tahun yang lalu, semasa saya kembali ke Sabah dan menyertai arena politik untuk membina politik baharu. Ketika itu, kami tetap bekerja keras di kampung-kampung terpencil di seluruh Sabah, kami juga pernah merasai kekecewaan.

“Ada kala kita di puncak, ada kala kita di lurah. Baik dan buruk, saya sentiasa  merendah hati, seperti ketika saya baru kembali ke Sabah dan tidak dikenali oleh rakyat, saya tetap berdedikasi untuk berkhidmat demi masa depan kampung halaman saya,” ujarnya.

Jin Zhe berkata, perjuangan dan perjalanan ini kembali seperti ke titik permulaan, tetapi mereka akan terus menyimpan harapan.